BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memberikan kemudahan kepada para pelanggan sewa beli (hire purchase), Baiduri Finance telah menyediakan pelbagai cara untuk memperbaharui insurans kereta para pelanggan.
Para pelanggan boleh memilih untuk memperbaharui insurans kereta dan cukai jalan menerusi aplikasi mudah alih Baiduri Finance (iOS dan Android) atau di kaunter Bluecard and Insurance Centres di Ibu Pejabat Baiduri Finance di Sumbangsih Bahagia dan cawangan Kuala Belait atau mereka boleh menghubungi terus perkhidmatan itu melalui telefon.
Menurut kenyataan yang diterima kelmarin, bermula 18 Mei ini, pelanggan sewa beli yang hendak memperbaharui insurans kereta dan cukai jalan dengan Baiduri Finance akan mendapat peluang menyertai cabutan bertuah dan memenangi rebet berjumlah $5,000.
Rebet tunai bernilai $100 hingga hadiah utama $1,000 juga boleh digunakan untuk mengimbangi premium insurans seterusnya atau pembayaran balik bulanan sewa beli.
Pengurus Jualan dan Perkembangan Perniagaan, Eugene Tan dalam kenyataan tersebut mengatakan, “Di samping bayaran tunai, pelanggan sewa beli kami juga boleh menukarkan premium insurans mereka kepada pelan bayaran ansuran sifar faedah kami sehingga tiga atau enam bulan dengan Baiduri Mastercard Auto Direct Prepaid Card sebagai perkhidmatan tambahan.”
Promosi itu juga terbuka kepada pelanggan yang ingin membeli insurans dan cukai jalan kereta bagi pembayaran insurans awal.