Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Promosi Travel & Win a Hyundai or Birkin anjuran Pan Bright Travel Service kembali lagi dengan dua buah kereta baharu Hyundai untuk dimenangi sebagai hadiah utama.
Kempen pada tahun ini yang memasuki edisi keenam akan bermula awal Ogos hingga penghujung Mac 2020.
Pan Bright Travel Service adalah agensi pelancongan pertama yang memberi kereta dan yang pertama menawarkan kereta atau Hermes Birkin Bag yang popular di kalangan wanita, sebagai pilihan dan kini menjadi yang pertama memberi dua buah kereta.
Hadiah hebat lain termasuk tiket penerbangan ke Dubai, Tokyo, Taipei dan Kuching tajaan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), tiket penerbangan ke Istanbul, Maldives, Osaka dan Singapura tajaan Singapore Airlines dan Royal Skies Miles bernilai 100,000 tajaan Baiduri Bank Berhad.
Di samping itu, kempen turut menawarkan pakej tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur yang termasuk tiket penerbangan, penginapan dua malam di Hotel Seri Pacific lima bintang, makan malam bufet setiap hari dan bufet minum petang hujung minggu untuk dua orang.
Seorang pemenang juga akan pulang dengan pakej tiga hari dua malam ke Kota Kinabalu yang termasuk tiket penerbangan, penginapan dua malam di Ming Garden Hotel dengan sarapan setiap hari, juga untuk 2 orang.
Kedua-dua pakej ke Malaysia disokong oleh Tourism Malaysia Brunei, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur dan Ming Garden Hotel, Kota Kinabalu.
Bersempena dengan pelancaran kempen tersebut, Pan Bright Travel akan menyertai Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2019 yang akan diadakan pada hujung minggu ini di Sungai Hanching.
Tawaran penerbangan, hotel dan perjalanan hebat menunggu para pelanggan semasa pameran berkenaan selain hadiah-hadiah menarik setiap hari seperti tiket penerbangan, penginapan tiga hari dua malam di Seri Pacific Hotel, penginapan percuma di Miri Marriott Resort dan Meritz Hotel, Miri serta banyak barangan yang akan diberikan.