Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Tidak lama lagi Aidiladha akan menjelang dan pada hari tersebut, agama Islam telah mensyariatkan satu ibadat yang merupakan salah satu daripada syiar agama Islam iaitu melaksanakan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kambing, kerbau, lembu dan seumpamanya.
Ibadat korban merupakan sebahagian daripada syiar agama Islam yang mesti diagungkan dan mesti dihormati, dan Allah menjelaskan dalam Al-Quran, mengagungkan dan menghormati syiar agama Islam adalah tanda ketakwaan hati seseorang yang beriman.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, turut menjelaskan, hukum melakukan ibadat korban itu sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang berkemampuan untuk melakukan ibadat korban itu, peluang yang tidak ternilai dan hanya datang beberapa hari dalam setahun pada bulan Zulhijah itu tidak wajar diabaikan dan dilepaskan begitu sahaja.
“Rasulullah SAW dalam hadis Baginda ada menyebut tentang fadilat atau kelebihan berkorban, antaranya darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah,” jelas khatib.
Agama Islam turut mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, di mana Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas dan sempurna.

Khatib seterusnya berkata, antara hikmah daripada pensyariatan ibadat korban itu termasuk mengambil iktibar dan pengajaran tentang erti sebenar ketaatan seseorang hamba kepada Allah.
Ibadah korban juga mengingatkan tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan Allah untuk menyembelih putera Baginda, Nabi Ismail AS.
“Ia merupakan pengorbanan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran mereka berdua, perintah yang amat berat itu telah dilaksanakan atas dasar iman dan takwa yang dilakukan tanpa ragu-ragu atau was-was.
“Atas dasar ketaatan dan ketulusan mereka itu, Allah akhirnya telah memerintahkan agar Nabi Ismail AS digantikan dengan seekor kibas,” tambah khatib.
Di samping itu, berkorban juga dapat memupuk sikap pemedulian dan prihatin terhadap masyarakat dan ini jelas melalui pengagihan daging korban tersebut menunjukkan sikap pemedulian kepada yang berhak menerima khususnya fakir miskin dan yang memerlukan.
Selain itu, ibadah berkenaan juga melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat rezeki yang telah dikurniakan, dan dapat mengikis sifat tamak serta mewujudkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah.
Khatib seterusnya mengingatkan, harta yang dianugerahkan Allah di dalamnya ada terselit hak orang lain seperti golongan fakir miskin.
“Marilah sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melakukan ibadat korban, terutama bagi mereka yang berkemampuan, kerana ibadat korban itu merupakan pelaburan di dunia dan hasil keuntungan akan dituai dan diperolehi di akhirat kelak,” seru khatib.
Tambahnya, dengan mengagungkan dan melaksanakan ibadat korban itu, rezeki akan semakin bertambah berkat dan diri, keluarga dan negara dijauhi daripada segala bentuk musibah, malapetaka dan bala bencana.