Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Pasaran bagi usahawan belia tempatan semakin diperluaskan lagi apabila produk-produk mereka mula mendapat tempat di kedai-kedai terkemuka di negara ini.
Salah satu produk itu, Beuty Roserra dihasilkan oleh usahawan belia, Dayang Siti Nur Saffa Anatti binti Mohd Az bertuah kerana terpilih untuk dipasarkan secara meluas lagi di rangkaian kedai barangan kecantikan terkenal, Paloma di bawah Program Inisiatif Belia dan Kotej (CYiP).
Sehubungan itu, satu perjanjian ditandatangani hari ini antara pemilik dan pembekal Beuty Roserra, Dayang Siti Nur Saffa Anatti disaksikan oleh Pengiran Haji Haris bin Pengiran Duraman dengan wakil pemilik kedai Paloma, Haji Abdul Rahman bin Haji Matassim disaksikan oleh Wee Yuh Lian di Kompleks Membeli-belah Mabohai.
Hadir selaku tetamu kehormat dan turut menyaksikan penandatangan ialah Yang Di-Pertua Majlis Peniaga-peniaga Wanita Negara Brunei Darussalam, Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah.
Penandatangan tersebut menjadi peranan utama memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar lebih mapan, mengembang luaskan lagi pasaran bagi usahawan belia tempatan dan memacu ekonomi negara.


Mentor Pengetua CYiP yang juga penasihat Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam, Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don, ketika berucap pada majlis penandatangan itu mengatakan, di bawah CYiP, lima kategori perniagaan dikenal pasti untuk diperluaskan ke pasaran tempatan dan juga ASEAN.
Lima kategori itu termasuklah pengeluaran kosmetik, pakaian wanita, pakaian lelaki, kluster makanan dan minuman dan kluster produk yang sederhana dan dikembangkan menjadi produk berkualiti tinggi seterusnya dijadikan produk berjenama, tambahnya.
Menurutnya, matlamat CYiP adalah untuk menggalakkan PKS tempatan berkembang luas di dalam negara dan memperkenalkannya ke peringkat global terutamanya ASEAN, bagi memacu industri PKS dan kotej yang boleh menambahkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Untuk itu, usahawan belia dinasihatkan berkeyakinan dan matang dalam pengetahuan dan pengalaman agar mereka boleh memenuhi permintaan pasaran tempatan dan seterusnya mengalihkan fokus mereka ke pasaran luar negara,” katanya.