Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Dengan hasrat untuk mencari peluang perniagaan dan rakan kongsi bagi mengembangkan perniagaan ke negara jiran seperti Malaysia, Al-Huffaz Management merupakan salah sebuah perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang akan menyertai Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Penang (PIHEC) ke-8 di Spice Arena, Pulau Pinang, Malaysia pada 24 hingga 26 Februari.
Dua orang pendidik daripada Al-Huffaz Management iaitu Dayang Nurul Liyana binti Haji Ismail dan Dayangku Fatin Nur’masayuni Safwana binti Pengiran Roslan, mewakili Al-Huffaz Management di PIHEC telah berlepas ke Malaysia, hari ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan ialah Pengasas Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan serta ahli keluarga dua orang pendidik bagi syarikat berkenaan.
Haji Mohammad Loqman Al-Hakim ketika ditemui oleh Media Permata berkata bahawa penyertaan kali pertama Al-Huffaz Management dalam persidangan dan ekspo berkenaan merupakan satu platform yang amat berguna bagi mereka untuk menyaksikan sendiri serta mendapat pendedahan mengenai peluang-peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka di negara jiran.
Ia juga memberikan peluang bagi mereka untuk berkongsi pengalaman dengan syarikat-syarikat yang berjaya dari negara-negara jiran serta untuk mencari rakan kongsi yang boleh bekerjasama bagi meneroka pasaran serantau.
![Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bergambar ramai bersama dua wakil Al-Huffaz Management ke PIHEC 2017 serta ahli keluarga mereka sebelum mereka berlepas ke Malaysia.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P10-B_23217.jpg)
Beliau menambah bahawa mempunyai rakan kongsi di negara-negara jiran seperti Malaysia akan banyak membantu mereka untuk meneroka pasaran luar kerana mereka mempunyai kepakaran serta ilmu pengetahuan mengenai pasaran berkenaan.
Di samping itu, beliau juga berharap, semasa penyertaan mereka dalam ekspo dan persidangan itu, ia memberikan peluang bagi menguji keberkesanan pelan perniagaan yang digunakan oleh Al-Huffaz bagi pendidikan Al-Quran di Brunei, juga dapat diguna pakai di pasaran serantau seperti Malaysia.
Al-Huffaz Management adalah penyedia platform berasaskan aplikasi dan dalam talian yang menghubungkan guru-guru mengaji Al-Quran dan para pelajar. Pada masa ini, menurut Haji Mohammad Loqman Al-Hakim, Al-Huffaz mempunyai seramai 60 orang pendidik dan kira-kira 300 orang pelajar di keempat-empat buah daerah.
Beliau turut melahirkan harapan dengan menyertai PIHEC 2017, ia akan mendedahkan perkhidmatan mereka dan memberikan peluang untuk belajar daripada pembekal pengajaran keagamaan dalam talian lain.
Al-Huffaz merancang untuk meneroka pasaran-pasaran baru dan setakat ini pasaran mereka telah mencapai sehingga ke Jerman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, sebanyak lima buah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan akan menyertai PIHEC ke-8.
Menurut kenyataan itu lagi, PIHEC merupakan acara tahunan yang diadakan dan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai platform bagi para pempamer dari Asia Tenggara, Asia Barat dan rantau-rantau lain untuk mempromosi dan memasarkan pelbagai makanan halal, premis-premis diperakui halal, produk-produk halal yang bukan terdiri daripada makanan dan juga produk, perkhidmatan kewangan, institusi dan pertubuhan Islamik.
Wakil dari lima perusahaan PMKS itu, Syarikat Wira Bina, Wing-It! Foods, Al-Huffaz Management, Bellary Nature and ShineBlingz Enterprise akan mempamerkan produk-produk Brunei, daripada perkhidmatan halal hinggalah produk makanan halal, menurut kenyataan itu lagi.
PIHEC adalah platform yang menyediakan akses kepada pasaran halal di rantau ini bagi syarikat-syarikat tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan PMKS berkenaan dalam acara tersebut dibantu dan diselaraskan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Darussalam Enterprise (DARe).
Bagi maklumat lanjut mengenai penyertaan dalam ekspo-ekspo dan pameran perdagangan antarabangsa seperti PIHEC 2017, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Ekspo dan Pameran Perdagangan, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, JPM, di talian 2384488 sambungan 1050.