Friday, March 21, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang pengajian terbaik di UK

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Dalam usaha mencari pemimpin bercita-cita tinggi, profesional dan berpandangan jauh dalam kalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, Pejabat UK Foreign and Commonwealth (FCO) kini membukakan permohonan bagi Anugerah Biasiswa Chevening yang berprestij untuk pembelajaran tahun akademik 2019/2020.

    Warga Brunei dijemput untuk membuat permohonan untuk menjalani pembelajaran setahun, yang dibiayai oleh FCO itu, bagi pengajian Sarjana di United Kingdom (UK). Borang permohonan online boleh didapati di www.chevening.org/apply. Permohonan hendaklah dihantar dengan lengkap tidak lewat dari 6 November depan.

    Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dalam satu kenyataan berkata, “Kami sedang mencari pemimpin yang bercita-cita tinggi, profesional, berpandangan jauh. Tidak ada perkara seperti ‘tipikal’ Biasiswa Chevening, tetapi satu persamaan yang semua mahasiswa terdahulu miliki iaitu potensi menjadi pemimpin masa depan dalam bidang mereka.

    “Jika anda dipilih untuk Chevening, anda akan menerima pendidikan UK pertama yang boleh membuka pintu dalam kerjaya anda. Anda juga akan menjadi sebahagian daripada rangkaian Alumni Chevening global, yang penuh dengan penggiat dinamik, berkongsi pengalaman yang serupa dan boleh menawarkan bimbingan nasihat.

    “Kami berharap warga Brunei yang berkelayakan akan memohon anugerah biasiswa unik ini untuk melanjutkan pengajian mereka. Beribu-ribu orang dari seluruh dunia mendapati pengalaman ini telah mengubah kehidupan mereka,” jelasnya.

    Hanya individu yang berpotensi dalam kepimpinan dan mempunyai latar belakang akademik yang kuat dianugerahkan Biasiswa Chevening.

    Sepanjang tempoh 35 tahun, 50,000 profesional yang cemerlang telah berpeluang berkembang di UK melalui Chevening.

    Terdapat lebih daripada 1,500 biasiswa ditawarkan secara global untuk tahun akademik tahun 2019/2020, yang menunjukkan komitmen berterusan UK ke arah membangunkan pemimpin hari esok.

    Setakat ini, 47 warga Brunei telah dianugerahkan Biasiswa Chevening, yang kebanyakannya telah berjaya mendapatkan pekerjaan bertaraf tinggi di sektor awam dan swasta dan menjadi ahli aktif Alumni Chevening.

    Ketua Biasiswa di FCO, Ben Coates, berkata, “UK terus memainkan peranan utama di seluruh dunia. Tempat di mana sebahagian universiti terbaik di dunia, pelajar cemerlang dan akademik yang paling dihormati.

    “Sektor pendidikan tinggi UK menggalakkan pertukaran maklumat dan idea, serta membina pengetahuan dan rangkaian.

    “Menjadi sebahagian daripada rangkaian Chevening ini menimbulkan rasa bangga dan tanggungjawab yang kuat, saya sendiri melihat bagaimana peluang ini telah mengubah kehidupan.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda