BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa memperingati Hari ASEAN merupakan peluang untuk merenungkan pencapaian pertubuhan dan juga peluang untuk meraikan beberapa perkembangan rantau dan masyarakatnya sejak 51 tahun yang lalu.
Titah Baginda, sepanjang masa itu, ASEAN telah mengalami kemajuan ekonomi dan teknologi yang ketara serta sokongan yang semakin meningkat daripada rakan kongsi luar untuk proses pembangunan Komuniti ASEAN.
“Rantau kita mendapat manfaat daripada perkembangan ini melalui peningkatan sistem pendidikan dan kesihatan serta pengembangan infrastruktur yang telah meningkatkan taraf hidup rakyat,” titah Baginda.
Walau bagaimanapun, cabaran pembangunan di rantau ini masih kekal bersama isu-isu lain abad ke-21 seperti gangguan teknologi, perubahan iklim dan ancaman keganasan dan ekstremisme yang memerlukan usaha kolektif negara anggota untuk diatasi.
“Dalam hal ini, ASEAN terus menyediakan platform untuk negara anggota dan rakan untuk bekerjasama mencapai matlamat bersama. Dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2025, kita komited untuk merealisasikan satu wilayah yang bersifat politik, bersepadu dan bertanggungjawab secara sosial terhadap rakyatnya,” titah Baginda.
“Ini melibatkan pelbagai kerjasama termasuk menangani keselamatan siber, mempromosikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, melindungi alam semula jadi serta membangunkan belia untuk masa depan.”
Pada masa yang sama, ASEAN akan terus meningkatkan kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa untuk memastikan keamanan dan kemakmuran di Asia Tenggara dan rantau yang lebih luas.
“Kita menyokong sepenuhnya Singapura sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2018 di bawah tema ‘Berdaya Saing dan Inovatif’. Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan Singapura serta anggota ASEAN dan rakan serantau yang lain dalam mencapai matlamat bersama untuk kepen-tingan seluruh rakyatnya,” titah Baginda.
Dalam titah perutusan sempena Hari ASEAN itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyatakan hasrat murni Baginda untuk Hari ASEAN serta harapan berterusan demi masa depan yang cerah untuk ASEAN dan rakyatnya.