NEW YORK, 29 MAC – Perhatikan langit minggu ini untuk peluang melihat planet-planet bersusun di langit malam.
Lima planet tersebut ialah Utarid, Musytari, Zuhrah, Uranus dan Marikh yang akan berbaris berhampiran bulan.Planet-planet akan terbentang dari garis ufuk ke sekitar separuh langit malam. Tetapi jangan lewat: Utarid dan Musytari akan cepat tenggelam di bawah ufuk kira-kira setengah jam selepas matahari terbenam.
Penjajaran lima planet boleh dilihat dari mana-mana sahaja di bumi, asalkan kawasan di tempat awda berlangit cerah dan pemandangan ke barat.
“Itulah keindahan penjajaran planet ini. Ia tidak mengambil banyak masa, “kata ahli astronomi NASA, Bill Cooke.
Mungkin Musytari, Zuhrah dan Marikh semuanya akan mudah dilihat kerana ia bersinar terang, kata Cooke. Zuhrah akan menjadi salah satu planet paling terang di langit, dan Marikh akan berada berhampiran bulan dengan cahaya kemerahan. Utarid dan Uranus mungkin lebih sukar untuk dikesan, kerana ia akan menjadi lebih malap. Orang ramai mungkin perlu menggunakan sepasang teropong untuk melihatnya.
Bagi seorang peminat astronomi, ia adalah peluang yang jarang untuk melihat Uranus, yang biasanya tidak kelihatan, kata Cooke. Mereka boleh menantikan cahaya hijaunya tepat di atas Zuhrah.
Nombor dan kumpulan planet yang berbeza berbaris di langit dari semasa ke semasa. Terdapat barisan lima planet pada musim panas lalu dan terdapat satu lagi pada bulan Jun, dengan susunan yang sedikit berbeza.
Fenomena ini berlaku apabila orbit planet menyusun planet pada satu sisi matahari dari perspektif bumi, kata Cooke. – AP
