Peluang saksi gerhana matahari

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan berpeluang untuk menyaksikan peristiwa astronomi yang jarang berlaku iaitu gerhana matahari, pada petang 21 Jun nanti di mana ia akan dijangka bermula pada pukul 3:10 petang dan berakhir pada pukul 5:23 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), di sini, hari ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada sejajar antara matahari dan bumi di mana semasa gerhana separa, cakera bulan tidak akan meliputi matahari sepenuhnya.

Kenyataan menjelaskan bahawa fenomena gerhana matahari separa akan berlangsung selama 2 jam 13 minit di mana sepanjang peristiwa itu, bulan akan menutupi sebahagian kecil matahari dan ketika puncak gerhana, iaitu pada pukul 4:22 petang, hampir 28 peratus matahari akan ditutupi oleh bulan.

Sehubungan dengan itu, PABD menasihatkan orang ramai yang ingin melihat fenomena berkenaan supaya tidak melihat matahari secara terus di mana terdapat beberapa kaedah yang selamat untuk melihat matahari antaranya dengan menggunakan kaca mata kimpalan (welding glass) nombor 14, penapis suria dan projeksi dengan teleskop.

Pada masa yang sama, bersempena kejadian gerhana itu, PABD dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan menganjurkan perbincangan atas talian menerusi Facebook Live secara langsung bertajuk Bincang Santai Astronomi: Fenomena Gerhana Matahari.

Perjalanan bulan menutupi sebahagian matahari ketika gerhana pada 21 Jun nanti di Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan PABD

Program astronomi umum itu akan memberikan peluang kepada orang ramai dan warganet berinteraksi bersama pakar-pakar falak dan astronomi mengenai kejadian gerhana matahari di mana perbincangan itu akan disiarkan bermula pukul 8:30 malam pada 19 Jun.

Manakala itu, sesi cerapan gerhana matahari akan dibawakan secara langsung dalam talian pada 21 Jun nanti dari beberapa lokasi terpilih di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam oleh PABD.

Penganjuran program itu juga merupakan kolaborasi projek MY-East Asia Universe Awareness Solar Eclipse (MY-EAUNIVASE) di bawah jaringan kerjasama International Astronomical Union (IAU) National Outreach Coordinator yang melibatkan sembilan buah negara di Asia Timur.

Orang ramai boleh mengikuti penstriman cerapan fenomena berkenaan bermula pukul 2:45 petang sehingga 5:30 petang di mana cerapan itu bergantung kepada keadaan cuaca.
Semua aktiviti tersebut boleh diikuti dengan melayari laman Facebook PABD.

Di samping itu, PABD juga menyatakan bahawa fenomena gerhana matahari yang akan datang, yang akan berlaku lagi di negara ini adalah pada 20 April 2023.