Peluang saksikan ICC 2019 di Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Bank Baiduri dengan kerjasama UnionPay telah melancarkan Promosi ‘Top Spender’ yang menawarkan pakej pelancongan untuk dua orang ke Singapura bagi menyaksikan perlawanan Piala Juara-juara Antarabangsa (ICC) antara Manchester United dan Inter Milan FC.

Untuk mendapatkan peluang memenangi hadiah lumayan berkenaan, para pelanggan hanya perlu menggunakan Kad Debit UnionPay Baiduri bagi pembelian mereka dan mengumpulkan perbelanjaan sebanyak yang mungkin antara awal Mei hingga pertengahan Jun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, ICC adalah kejohanan pra-musim global terkemuka yang ditonton oleh lebih 140 juta orang dari 170 buah negara di seluruh dunia.

ICC 2019 akan menampilkan jumlah pasukan, perlawanan dan tempat perlawanan terbesar dalam sejarah kejohanan berkenaan yang mana 18 kelab terbaik dunia akan bermain dalam 27 perlawanan di Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura.

Selain Manchester United dan Inter Milan FC, Juventus dan Tottenham Hotspurs juga akan bermain di Singapura pada tahun ini.