Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta amat wajar disambut dengan penuh makna terutama bagi menghargai setinggi-tinggi kepimpinan Baginda Sultan dan sumbangan besar dalam menerajui hala tuju negara sepanjang tempoh 50 tahun pemerintahan Baginda.
Sambutan yang julung-julung kali diadakan itu juga merupakan peluang bagi semua lapisan rakyat dan penduduk Brunei Darussalam sama-sama menyambut detik gilang-gemilang pemerintahan Baginda Sultan sebagai raja yang bijaksana dan sentiasa prihatin terhadap perpaduan dan kesejahteraan rakyat dan negara ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, pagi tadi.
“Barang setentunya penglibatan mantap dan bersungguh-sungguh keseluruhan rakyat dan penduduk dalam menjayakan acara-acara besar seumpama ini adalah utama lebih-lebih lagi dalam kalangan para belia. Ini selaras dengan hasrat untuk menggalakkan ‘volunteerism’ serta sifat gemar menyumbang kepada perkara-perkara yang berkepentingan nasional dengan semangat cintakan tanah air dan menjulang tinggi kepimpinan raja,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Menurut Duli Pengiran Muda Mahkota, ini adalah penting dalam era globalisasi dunia masa kini yang telah mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan arus paska permodenan.
“Apatah lagi, perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat juga mampu merubah bentuk pemikiran, ideologi dan budaya sesebuah masyarakat khususnya para belia jika tidak ditangani dengan betul,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Duli Yang Teramat Mulia berpendapat bahawa mesyuarat berkenaan adalah tempat di mana jawatankuasa dapat berperanan dalam sama-sama menyumbang kepada usaha membendung kesan negatif berkenaan.
Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia menegaskan bahawa jawatankuasa yang terlibat seharusnya mengambil peluang daripada sambutan ini ke arah memperkukuhkan lagi Konsep Melayu Islam Beraja sebagai amalan berterusan dalam membangunkan masyarakat yang berbekal keislaman yang murni, yang mengutamakan perpaduan sebagai calak kehidupan kita orang Brunei.
Namun kejayaan dalam merealisasikan hasrat berkenaan bergantung sepenuhnya kepada sejauhmana kita berupaya menarik minat dan menggalakkan penyertaan golongan yang disasarkan.
“Justeru, strategi komunikasi yang berkesan diperlukan dan ia mestilah dirancang sedari awal lagi yang berupaya menarik penglibatan mereka dalam acara-acara sambutan. “Pendekatan melalui penggunaan teknologi semasa dan media elektronik, misalnya aplikasi muat turun seharusnya menjadi pilihan utama dalam strategi pemberigaan nanti,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Dalam hal itu, Duli Yang Teramat Mulia menyatakan perasaan gembira kerana mengetahui setiap jawatankuasa sektoral sedang giat mengadakan perbincangan bagi persiapan dan persediaan tertentu untuk memastikan pelaksanaan acara-acara yang disusun dengan penuh teratur, rapi dan sempurna.
“Komitmen, ketekunan serta permuafakatan sedemikian juga menggambarkan perpaduan erat yang dibina dan dipupuk sejak sekian lama dalam kalangan rakyat dan penduduk dengan berpaksikan ketaatan dan kesetiaan pada raja dan negara,” sabdanya lagi.
Namun dalam mereka menimbangkan cadangan-cadangan acara sambutan, DPMM telah mengingatkan mereka hendaklah sentiasa terpandu oleh titah Baginda Sultan yang menekankan sifat sambutan sebagai ‘petanda’ bagi sejarah dan seterusnya mengamalkan kesederhanaan.
“Apa yang paling mustahak sekarang ialah supaya setiap yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna dan tidak tersasar dari sasaran masa dan peruntukan yang telah ditetapkan,” jelas Duli Yang Teramat Mulia lagi dalam sabdanya.
Ke arah itu, dalam mesyuarat seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia mengharapkan perbincangan mereka akan lebih tertumpu kepada kemajuan pelaksanaan perancangan setiap sektoral.
Ini termasuklah kemungkinan adanya beberapa perkara bersangkut paut yang boleh menjadi kewahaman dan cabaran kepada mana-mana jawatankuasa sektoral yang memerlukan penyelesaian di peringkat jawatankuasa berkenaan.
Pada akhir sabdanya, Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas berkenaan, penuh yakin ahli jawatankuasa dapat sama-sama memberikan pandangan dan pendapat yang bernas lagi berguna ke arah memastikan kesempurnaan acara Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan yang akan menjelang nanti.
Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia ke mesyuarat berkenaan dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.
Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah para pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha.
Mesyuarat didahului dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal dan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar.
Mesyuarat kedua jawatankuasa ini adalah kesinambungan daripada mesyuarat pertama dengan mesyuarat kali ini telah menumpukan perbincangan kepada cadangan acara-acara yang akan diadakan sempena sambutan berkenaan.