Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang sempurna Conte, Chelsea

    LONDON, 19 Feb – Kunjungan Barcelona ke Chelsea awal pagi Rabu ini memberikan Antonio Conte peluang sempurna untuk mengesahkan statusnya sebagai antara jurulatih terbaik Eropah.

    “Bermain menentang Barcelona merupakan satu cabaran besar untuk kami,” kata Conte selepas mengendurkan tekanan ke atasnya dengan kemenangan berturut-turut ke atas West Brom dan Hull seminggu kebelakangan ini.

    “Kami perlu berseronok untuk bermain perlawanan seperti ini, terutamanya menentang pasukan ini. Saya menganggap Barcelona sebagai salah sebuah pasukan terbaik di dunia.”

    Conte juga menganggap dirinya sebagai antara jurulatih terbaik di dunia, merujuk pada dirinya sebagai ‘pemenang’ meskipun selepas kekalahan 4-1 di Watford. Di sepanjang kerjayanya ada juga ketika dia selayaknya digelar ‘pemenang’.

    Ketika bersama Juventus, Conte menjadikan kelab itu pemenang gelaran sekali lagi dengan tiga gelaran Serie A berturut-turut selepas kemarau lima tahun.

    Dia juga mengatasi jangkaan dengan mengetuai pasukan Itali ke suku akhir Euro 2016 dan menghadiahkan gelaran Liga Perdana dalam musim pertamanya di Chelsea.

    Bagaimanapun, kemerosotan musim kedua di Chelsea dan hubungan tidak menentunya dengan hierarki kelab menyebabkan ramai percaya bahawa warga Itali tidak akan bertahan lama di Chelsea.

    Sama ada meyakinkan Roman Abramovich dan Marina Granovskaia agar dia kekal mengendalikan kelab musim depan atau menarik perhatian gergasi-gergasi Eropah lain yang mungkin mencari jurulatih pada musim panas, Conte perlu mempunyai malam yang dapat dikenang dalam Liga Juara-Juara.

    Dua tahun dalam kejohanan itu bersama Juventus berakhir dengan kekalahan agregat 4-0 suku akhir kepada Bayern Munich dan tersingkir daripada peringkat kumpulan di belakang Galatasaray.

    Conte mengadu bahawa ia adalah mustahil bagi pasukan itu bersaing dalam peringkat lebih tinggi Liga Juara-Juara.

    Namun ia terbukti salah apabila penggantinya, Massimiliano Allegri menerajui Juve ke dua final Liga Juara-Juara dalam tiga musim.

    Terdapat persamaan antara hari-hari terakhir Conte di Juventus dan kebanyakan kemarahan terbukanya ke atas hierarki Chelsea musim ini mengenai isu pembelian pemain.

    “Saya fikir saya mempunyai masalah untuk meyakinkan kelab untuk membeli pemain,” kata Conte minggu lepas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda