Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Dalam menyerlahkan dan mendedahkan bakat kanak-kanak yang sedia ada, platform yang disediakan perlu diambil sebagai peluang untuk mereka mengembangkan lagi bakat terpendam mereka.
Sehubungan itu, Kedai Buku Best Eastern mengalu-alukan para pelajar atau kanak-kanak yang berusia enam hingga 11 tahun menyertai Pertandingan Mari Bercerita bagi mewakili sekolah masing-masing atau pun secara persendirian.
Kedai buku berkenaan akan membukakan sesi uji bakat pada 9 September 2018 di Kedai Buku Best Eastern cawangan Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas.
Kanak-kanak hanya perlu membeli buku di kedai berkenaan bagi melayakkan mereka mengikuti uji bakat yang disediakan tersebut.
Masa yang dihadkan adalah lima minit, di mana masa akan dikawal oleh penjaga masa yang mengendalikan acara itu nanti. Tiada kesan bunyi, latar belakang, latar suara atau barangan prop dibolehkan untuk menyokong cerita yang hendak disampaikan.
Pendaftaran awal melalui kaunter di semua cawangan kedai buku ini dibukakan bermula hari ini.
Para peserta yang berjaya pada sesi uji bakat tersebut akan dibawa ke pusingan akhir dan akan dihubungi oleh pihak penganjur.
Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pertandingan yang bertujuan sebagai platform untuk kanak-kanak mendedahkan bakat mereka dalam sesi bercerita ini bolehlah berkunjung terus ke mana-mana cawangan kedai buku tersebut.