Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang sertai aktiviti menarik OWB

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025 tidak lama lagi akan berlangsung dan pasukan OWB pada hujung minggu mula mempromosikan acara dengan menubuhkan petak maklumat di Petani Mall, Daerah Tutong dan juga One City dan The Mall Gadong di Daerah Brunei dan Muara dengan tujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti menarik yang disediakan untuk OWB.
     
    Pengunjung mengambil bahagian dalam tinjauan dan temu bual kesedaran lautan dan berpeluang untuk mencabut hadiah dari kotak misteri. Hadiah termasuk barangan eksklusif OWB dengan hadiah utama kursus Learn to Dive.
     
    Di Daerah Brunei dan Muara, Dayang Ina, 16 tahun, seorang pelajar dan pencinta lautan, sangat gembira memenangi kursus menyelam tersebut. Beliau baru-baru ini menyelesaikan projek sekolah tentang jerung harimau dan bercita-cita suatu hari nanti dapat melihat sendiri habitat semula jadi itu. 
     
    Dayang Ina berkongsi bahawa jerung adalah salah satu haiwan kegemarannya. Ramai orang salah faham tentangnya, tetapi dirinya mahu memahami lebih lanjut tentangnya kerana ia haiwan terancam. Tambahnya, kursus menyelam itu akan membawanya selangkah lebih dekat untuk memahami dunia marin yang dicintainya. 
     
    Di samping itu, Awang Hanif Raziq, 23 tahun, seorang lagi pemenang kursus menyelam berkenaan semasa Jerayawara OWB dan Derma Darah di One City. Dua orang belia dari Daerah Brunei dan Muara juga begitu teruja untuk memulakan perjalanan menerokai khazanah bawah laut Brunei.
     
    Awang Haikal bergambar bersama hadiah yang dimenangi. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVER
    GAMBAR SERAHAN PONI DIVER
    Manakala di Daerah Tutong, Awang Haikal, 7 tahun, memenangi hadiah utama dalam pertandingan itu. Dengan minat mendalam terhadap hidupan marin, Awang Haikal melahirkan rasa ingin tahu khususnya tentang penyu laut dan terumbu karang. Hadiah itu akan memberinya peluang untuk mengalami persekitaran bawah air buat kali pertama.
     
    Ramai peserta lain turut membawa pulang hadiah baju T Minggu Lautan, beg eko dan barangan eksklusif lain. Lebih penting lagi, setiap orang yang berkunjung ke petak OWB mengetahui lebih lanjut tentang pemuliharaan lautan dan cara-cara mereka boleh memainkan peranan dalam melindungi persekitaran marin Brunei.
     
    Jerayawara itu bukan sahaja tentang pemberian hadiah, tetapi menyediakan lebih banyak maklumat mengenai OWB, dan memberi inspirasi kepada peserta untuk mengambil tindakan dalam melindungi lautan. Kursus menyelam, khususnya, menawarkan peluang untuk berhubung dengan dunia marin, memotivasikan individu seperti Dayang Ina dan Awang Haikal untuk meneruskan minat mereka terhadap hidupan marin sambil menyumbang kepada usaha pemuliharaan. 
     
    OWB 2025 akan berlangsung sepanjang Mei dan Jun, menawarkan pelbagai aktiviti bertemakan lautan bertujuan untuk meraikan persekitaran marin Brunei dan mempromosikan pemuliharaan lautan. Acara termasuk penanaman karang, pembersihan pantai, forum belia, pengalaman menyelam dan bengkel seni lautan. 
     
    Lebih banyak jerayawara akan diadakan pada  27 dan 28 April  di Daerah Belait dan juga Daerah Temburong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda