Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang Spurs raih trofi masih ada

    LONDON, 11 APRIL – Usaha Ange Postecoglou untuk menamatkan kemarau trofi panjang Tottenham kekal seimbang selepas keputusan seri 1-1 menentang Eintracht Frankfurt dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Europa semalam.

    Pasukan bimbingan Postecoglou ketinggalan awal menerusi jaringan Hugo Ekitike di utara London, namun Pedro Porro menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

    Tottenham terus mengasak kubu Frankfurt pada separuh masa kedua dan dua kali terkena palang, namun gagal menjaringkan gol kemenangan.

    Keputusan itu bermakna pengurus Spurs yang kini menerima tekanan, Postecoglou, perlu merancang kemenangan bersejarah dalam aksi timbal balik di Jerman pada 17 April nanti untuk terus menghidupkan impiannya merangkul trofi pertama kelab sejak Piala Liga 2008.

    “Ia mengecewakan apabila bolos sedemikian. Tamparan paling hebat adalah apabila kami dibolosi terlalu awal. Itu memang memihak kepada mereka,” kata Postecoglou.

    “Tetapi sebelum itu pun saya rasa kami mengawal permainan dengan baik. Saya rasa hasilnya akan muncul pada separuh masa kedua dan memang benar, kecuali dari segi jaringan. Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain.”

    Pemenang pertemuan ini akan bertemu Bodo/Glimt atau Lazio dalam separuh akhir pada bulan Mei, dengan kelab dari Norway itu membawa bekalan kemenangan 2-0 ke perlawanan timbal balik menentang wakil Itali itu.

    “Pada malam lain, kami mungkin menang dengan selesa. Kami perlu ke sana dan jika kami ulang prestasi ini, kami ada peluang,” tambahnya.

    “Saya tidak jangka perlawanan kedua akan terbuka. Ia akan jadi lebih berhati-hati dan ditentukan oleh detik-detik penting.” – AFP

    Aksi Nathaniel Brown (tengah), mengasari Pedro Porro, semasa perlawanan suku akhir Liga Europa UEFA antara Tottenham Hotspur dan Eintracht Frankfurt yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur, London, pada 10 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda