Peluang terakhir Silva sebelum meninggalkan City

LONDON, 6 OGOS – David Silva mungkin tidak akan mendapat sambutan yang selayaknya dalam penampilan terakhirnya bersama Manchester City menentang Real Madrid dalam stadium Etihad yang kosong tetapi ia mungkin akan berakhir dengan sesuatu yang istimewa bagi David Silva.

Silva telah memenangi 11 trofi domestik dalam dekad yang penuh gemilang bersama kelab
Manchester dan diiktiraf sebagai salah seorang pemain import yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Meskipun City mendominasi kejohanan domestik, akan tetapi mereka masih gagal untuk menjulang piala Liga Juara-Juara.

Pemain kelahiran Sepanyol berusia 34 tahun itu merupakan antara pemain bintang pertama yang menyertai pasukan revolusi Abu Dhabi di Manchester.

Kini Silva mempunyai peluang terakhir untuk memenangi piala kejohanan utama untuk melengkapkan koleksi pingat, yang termasuk pingat kejuaraan Piala Dunia dan Piala Eropah bersama Sepanyol.

City, yang masih belum bergelar juara Eropah, akan menerima kunjungan juara 13 kali, Real Madrid pada Jumaat, dengan kelebihan 2-1 selepas pusingan pertama pertemuan dalam Liga Juara-Juara kelompok 16 terakhir pada Februari lalu.

Pemenang akan mara ke pusingan seterusnya, yang dijadualkan akan dilangsungkan di Lisbon hujung bulan ini. – AFP

Gambar fail aksi David Silva ketika menentang Newcastle. Musim ini merupakan peluang terakhir Silva untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara kerana dia bakal meninggalkan kelab pada akhir musim ini. – AP