BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Memandangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perindustrian dan perekonomian Negara Brunei Darussalam, Kompleks Membeli-belah Aman Hills telah melancarkan inisiatif dengan menyediakan platform bagi menyebarluaskan perniagaan mereka.
Dengan tagline ‘Ubah Idea Perniagaan Anda Menjadi Realiti’, Kompleks Membeli-belah Aman Hills telah menyediakan dua ruang kiosk sebagai platform bagi usahawan muda dalam menjalankan perniagaan di luar talian dan menggalakkan lebih banyak idea menjadi realiti dengan memulakan perniagaan dengan harga yang berpatutan.
Dengan pelancaran inisiatif ini, Aman Hills berharap dapat menyediakan sumber yang mencukupi seperti apa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan dan memberi peluang kepada pengusaha baharu dalam mengetengahkan jenama syarikat mereka untuk kerjasama dan pengalaman peniagaan di masa hadapan.
Selain itu, ia juga diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai belia untuk lebih berani sebagai pengusaha dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan yang juga akan memberi manfaat kepada mereka.
Sementara itu, para pengusaha dialu-alukan untuk hadir bagi Hari Terbuka Aman Hills pada 7 dan 8 Julai ini di kompleks berkenaan.
Setiap pengusaha yang berminat dengan inisiatif berkenaan bolehlah menyertai sesi soal jawab selain diberikan lawatan singkat di sekitar kompleks membeli-belah itu.