Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Warga Brunei yang berminat untuk mengembangkan pengetahuan dan melanjutkan pengajian dalam mendapatkan ijazah sarjana di luar negara adalah dialu-alukan memohon biasiswa kerajaan Republik Rakyat China, Youth of Excellence Scheme of China bagi melanjutkan pengajian di China.
Biasiswa berkenaan adalah bagi mereka yang ingin melanjutkan pe-ngajian dalam bidang ijazah sarjana dan untuk tempoh 12 bulan di mana para pelajar dikehendaki melakukan pengajian sepenuh masa dan penyelidikan di universiti-universiti China dalam tahun akademik pertama sambil mempersiapkan disertasi mereka.
Biasiswa berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.
Dalam hubungan itu, para pemohon yang berminat boleh melayari sistem biasiswa kerajaan China bagi permohonan dalam talian, http.//studyinchina.csc.edu.cn/#/login dan menghadapkan bahan-bahan permohonan sebelum 15 April.
Para pemohon harus mempunyai surat pra-kemasukan bagi sekurang-kurangnya satu daripada 78 sub program apabila mereka membuat permohonan. Apabila membuat permohonan dalam talian, mereka harus memilih Type A bagi Scholarship Type dengan kod agensi 1563 dan para pemohon perlu memilih Youth of Excellence Scheme of China.
Pemohon bagi biasiswa berkenaan haruslah seorang warganegara lain yang bukannya warga Republik Rakyat China dan berusia di bawah 45 tahun dan sihat secara fizikal dan mental. Pemohon harus mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda atau tinggi dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja.
Mereka yang mempunyai latihan profesional atau pengalaman kerja dalam bidang yang berkaitan dengan program yang dipohon akan diberikan keutamaan.
Di samping itu, seorang pemohon harus merangkumi satu daripada empat kategori iaitu seorang pegawai kerajaan di peringkat ketua bahagian atau tahap yang sebanding atau lebih tinggi, seorang pengurus kanan di sesebuah institusi atau perusahaan, seorang pentadbir di sebuah universiti atau institusi penyelidikan saintifik serta mereka yang mempunyai pengalaman latihan atau pekerjaan relevan dalam organisasi antarabangsa.
Surat pra-kemasukan yang diberikan oleh universiti harus mengandungi kesemua maklumat yang diperlukan bagi pendaftaran termasuk maklumat peribadi, tarikh kemasukan dan maklumat-maklumat utama.
Majlis Biasiswa China menerima permohonan individu secara langsung dan akan menilai bahan-bahan yang dihadapkan oleh pemohon serta akan melalui penilaian pakar.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan senarai universiti-universiti China serta program yang ditawarkan, ia boleh diakses melalui laman sesawang http://bn.chinaembassy.gov.cn/eng/jywh/202401/t20240109_11220581.htm.


