Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Hari Keusahawanan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) 2025 bukan sahaja memberikan peluang kepada para usahawan tempatan menyertai ekspo keusahawanan berskala kecil tetapi juga memberikan peluang pengalaman dan kemahiran yang baharu dalam penganjuran ekspo keusahawanan di luar kampus universiti.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Badan Pelajar Ekonomi dan Kewangan Islam (iFESS) Sesi 24/25, Awang Mahmud Ameer Syahmi bin Mahmud Kashfi dalam ucapan alu-aluannya pada perasmian Hari Keusahawanan UNISSA 2025 yang berlangsung di BIBD Connects, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Junaidi bin Haji Masri bersama pegawai-pegawai kanan BIBD dan pegawai-pegawai eksekutif UNISSA.
Dalam ucapannya, Awang Mahmud Ameer Syahmi berkata hubungan strategik antara BIBD dan UNISSA serta Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) khasnya sudah lama terjalin rapat.
“BIBD telah silih ganti berterusan menyokong inisiatif UNISSA melalui pelbagai program dalam melahirkan usahawan-usahawan tempatan yang proaktif dan mampu berdikari
untuk menjana pendapatan mereka.”
Dengan sokongan padu dan berterusan daripada BIBD itu, UNISSA terus menerapkan elemen keusahawanan bukan sahaja dalam kurikulum tetapi juga menggalakkan penglibatan para usahawan muda UNISSA dalam perniagaan khusus yang pelbagai.
Majlis diteruskan dengan perasmian Hari Keusahawanan UNISSA 2025 yang disempurnakan bersama oleh Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan dan Awang Junaidi.
Seramai 43 usahawan menyertai acara yang dianjurkan iFESS dari FEKIm, UNISSA dengan sokongan BIBD dari 18 hingga 20 April, termasuk mahasiswa dan mahasiswi Tahun 4 FEKIm, UNISSA yang menjalankan perniagaan sebagai sebahagian projek akhir tahun mereka.