Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC) secara rasmi melancarkan pakej pelancongan pendidikan dengan menawarkan pelawat tempatan dan antarabangsa peluang untuk menerokai taman botani yang pertama dan satu-satunya di Brunei.
Majlis pelancaran yang berlangsung di UBD BRC telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku tetamu kehormat majlis.
Meraikan ulang tahun keenam awal tahun ini, pusat berkenaan kini meluaskan jangkauannya kepada semua pelawat melalui Pakej Pelancong Pendidikan UBD BRC dengan menawarkan pengalaman pendidikan unik yang mempamerkan kekayaan biodiversiti flora Brunei dan hutan kerangas yang jarang ditemui.
Dengan mengadakan kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, Pakej Pelancong Pendidikan UBD BRC menawarkan lawatan pendidikan dan aktiviti menarik yang memperlihatkan koleksi tumbuhan hidup dan lebah kelulut, serta projek utama pemuliharaan dan penyelidikan pusat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) UBD, Dr Hussein bin Haji Taha, dalam ucapan alu-aluannya di majlis itu antara lain menekankan bahawa UBD BRC merangkumi komitmen UBD ke arah melindungi dan berkongsi warisan semula jadi Brunei.
Di samping berkongsi pakej pelancongan pendidikan imersif yang baharu dilancarkan itu direka dengan teliti untuk memberikan pengalaman pengunjung yang melangkaui lawatan berpandu tradisional.
Sejurus pelancaran itu, tetamu kehormat bersama tetamu yang lain melawat dan menyaksikan demonstrasi langsung aktiviti pendidikan yang termasuk dalam pakej berkenaan.
Pengunjung ke UBD BRC boleh memilih pakej yang disediakan yang antaranya termasuk Perjalanan Melalui Alam Semula Jadi: Lawatan Taman Botani UBD, lawatan berpandu yang menyeronokkan yang diketuai oleh ahli botani tempatan dan graduan UBD yang pakar dalam flora asli Brunei.
Pakej penuh pula termasuk lawatan berpandu dan menawarkan pengalaman pendidikan yang dipertingkatkan, menampilkan aktiviti hands-on termasuk Green Thumb Experience – Memotong Semula dan Memindahkan Tumbuhan, Tanam Sendiri – Keajaiban Pembiakan Tumbuhan, Pencarian Harta Karun Biodiversiti dan Seni Alam Semula Jadi – Cetakan Daun.
Di samping itu, penggemar alam semula jadi boleh juga mengetahui lebih lanjut mengenai berkebun mampan dan menyumbang kepada usaha pemuliharaan pusat tersebut.
Pakej Pelancong Pendidikan UBD BRC kini tersedia untuk tempahan, dengan rangkaian aktiviti menarik yang ditawarkan melalui Festival Brunei Disember ke-8.