Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Persatuan Teakwondo Brunei Darussalam (BDTA) hari ini menganjurkan seminar Kejurulatihan Kyorugi Kebangsaan kali ke-2 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan bermula 28 hingga 30 April 2017.
Majlis berkenaan berlangsung selama tiga hari di unit kejurulatihan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan ia dikelolakan oleh Lembaga Pengadilan BDTA dan menyaksikan kehadiran 10 peserta yang kini bertali pinggang hitam dari beberapa kelab dari seluruh negara.
Seminar itu turut disertai oleh empat orang pengadil kebangsaan untuk mendengarkan seminar yang disampaikan oleh Jurulatih Taekwondo Kebangsaan Brunei Darussalam, Nurul Hannah binti Abdullah Mateen Kim. Menurut kenyataan penganjur, seminar ini dihasratkan akan menghasilkan lebih ramai pengadil kebangsaan bagi kejohanan-kejohanan yang diadakan di dalam negera, selain membuka peluang penyertaan untuk mengadili kejohanan antarabangsa.
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah di majlis itu ialah Naib Presiden II BDTA, Lim Ting San.
