Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang tinjau masjid, bersungkai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Urus Setia Program Keagamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Belia Mualaf As-Syahadah dengan kerjasama Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA), kelmarin, telah mengadakan program Ifthar Mahabbah bagi tahun 1445H / 2024M dan Masjid Tour sempena menyambut bulan Ramadan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Ia diadakan untuk mempamerkan Islam sebagai agama yang mementingkan hubungan silaturahim dan berbuat kebaikan tanpa mengira agama dan bangsa.

    Program Ifthar Mahabbah berkenaan merupakan kesinambungan daripada Bengkel Kesedaran Melalui Lawatan Masjid diungkayahkan bersama oleh Urus Setia Program Keagamaan Belia; Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas), PDI; dan Jabatan Hal Ehwal Masjid serta Belia Mualaf As-Syahadah.

    Tujuan utamanya adalah untuk memberikan kefahaman lebih mendalam kepada orang ramai, mahupun pelancong dalam dan luar negara sama ada Muslim atau bukan Muslim terhadap Islam, di samping menghayati suasana keindahan masjid, mengenali seni binanya serta budaya di Negara Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama isteri.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir semasa program Ifthar Mahabbah yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Antara atur cara semasa program Masjid Tour di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – GAMBAR SERAHAN PDI

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; duta-duta dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan KHEU, ahli-ahli BCFA dan rombongan dari China ASEAN TVET dan Politeknik.

    Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas mengenai Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah oleh Belia Mualaf As-Syahaddah, diikuti dengan sesi lawatan masjid (Masjid Tour).

    Selepas lawatan, acara Ifthar Mahabbah bagi tahun 1445H/2024M dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa.

    Ia disusuli dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, pemenang qari Musabaqah Murattal Al-Quran bagi Mualaf Senegara 1444H / 2022M.

    Manakala itu, inti sari ayat dibacakan oleh Dayang Nabilah Lutfi Inshira binti Abdul Samad, sukarelawan Belia Da’ie, Program Keagamaan Belia, PDI.

    Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden BCFA, Dr Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman.

    Kemudiannya, penerangan ringkas mengenai Kefahaman Tentang Puasa dalam bahasa Cina disampaikan oleh Pekerja Tingkat Khas, PDI, Dayang Siti Nur Jasmin Kim binti Abdullah. Acara diakhiri dengan bersungkai dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Antara objektif program adalah memberi peluang kepada bukan Muslim untuk meninjau masjid secara dekat dan mengenali ibadah yang dilakukan oleh orang Islam serta memberi peluang kepada masyarakat bukan Muslim untuk merasakan sendiri iftar (bersungkai) beramai-ramai di bulan Ramadan yang penuh keberkahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda