Gambar AFP
TRIPOLI – Youssef Jira, seorang remaja berusia 18 tahun yang berwajah segar memakai hoodie, mempunyai cita-cita besar dalam masyarakat Libya di mana kreativiti anak-anak muda telah lama terabai akibat peperangan dan keganasan.
Beliau mahu menggalakkan golongan muda menggunakan teknologi tinggi untuk membantu memodenkan negara yang berpecah-belah dan dilanda konflik itu.
Jira, adalah salah seorang belia yang sangat fanatik dengan teknologi, mengambil bahagian dalam pertandingan robotik di pinggir bandar Tripoli baru-baru ini.
“Kami ingin menyampaikan mesej kepada seluruh masyarakat, kerana apa yang kami pelajari telah banyak mengubah kami,” kata Jira semasa acara pertandingan yang jarang berlaku itu.
Libya telah menyaksikan lebih sedekad konflik sejak pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 yang telah menggulingkan orang kuat, Moamer Gadaffi, dengan pelbagai saingan militia, kuasa asing dan kerajaan untuk mendapatkan pengaruh.






Negara itu kekal berpecah antara kerajaan sementara di ibu negara barat, Tripoli, dan satu lagi di timur yang disokong oleh ketua tentera, Khalifa Haftar.
Tidak seperti ahli politik Libya, para peserta muda bekerjasama di gimnasium sekolah tempat pertandingan itu berlangsung.
Jira berkata dia telah memperoleh kemahiran baharu dan belajar tentang kerja berpasukan dalam mencapai matlamat bersama.
Buka peluang baharu
Acara itu dimeriahkan dengan pertandingan sukan peringkat sekolah menengah, dengan peminat bersorak untuk pasukan mereka yang sedang bertanding dalam petak di lantai gim, dengan latar belakang sepanduk yang mempromosikan ‘Lybotics dan First Tech Challenge’ semasa muzik pop Inggeris dimainkan.
Robot-robot itu kelihatan tidak mewah: mesin beroda yang kecil, sambungan elektrik yang terdedah. Ia membuat pergerakan yang tersentak-sentak sambil cuba mengelilingi petak.
Tetapi penyelaras acara, Mohammed Zayed berkata projek sedemikian membantu ‘membuka peluang baharu’ bagi anak-anak muda Libya.
“Ini bukan hanya mengenai robot yang ringkas,” katanya. “Golongan muda ini juga perlu menguruskan hubungan mereka dan berusaha ke arah keterangkuman, perpaduan dan keamanan.”
Zayed berkata “acara itu bertujuan”menyediakan pekerja masa depan dan menyedarkan negara tentang kepentingan teknologi dan inovasi”.
Di bawah pemerintahan 42 tahun Gadaffi, pendidikan dan pembangunan anak muda tidak menjadi keutamaan dan universiti menekankan pandangan pemimpin berkenaan politik, ketente-raan dan ekonomi.
Selepas bertahun-tahun keganasan melanda, dalam tempoh yang agak tenang, sejak gencatan senjata pada 2020, membolehkan beberapa orang memasang impian bahawa Libya boleh mula bergerak ke hadapan, walaupun terdapat perpecahan politik yang berterusan.
Pada pertandingan itu, keluarga, rakan dan juga pegawai kerajaan menyertai usaha mempromosikan budaya teknologi dan semangat syarikat pemula, terutamanya dalam kalangan belia.
Acara yang dibiayai oleh sekolah antarabangsa dan penaja swasta itu, telah dirancang sejak 2018 tetapi berulang kali ditangguhkan kerana pergolakan dan kemudian wabak COVID.
Masa untuk berubah
Sekitar 20 pasukan bertanding, kebanyakannya daripada ahli kumpulan yang sering dipinggirkan dalam masyarakat konservatif Libya iaitu wanita, pendatang dan orang kurang upaya.
Shadrawan Khalfallah, 17, ahli pasukan yang terdiri daripada perempuan, berkata dia percaya teknologi boleh membantu menangani cabaran dari iklim kepada kesihatan serta membantu wanita maju ke hadapan.
“Kami menubuhkan pasukan kami untuk menjadikan masyarakat berkembang dan menunjukkan bahawa kami wujud,” katanya sambil menghulurkan pelekat yang mengandungi perkataan ‘Ubah’.
Libya merupakan negara yang kaya dengan minyak, tetapi berpuluh-puluh tahun tanpa perkembangan di bawah pemerintahan Gadaffi dan bertahun-tahun pertempuran telah menghancurkan ekonominya yang dibelenggu rasuah dan menyebabkan penduduknya terperangkap dalam kemiskinan.
Pembiayaan awam hanya sedikit bagi sains dan teknologi, tetapi Nagwa al-Ghani, seorang guru sains dan mentor kepada salah sebuah pasukan, berkata ini perlu diubah dan boleh membantu memberikan Libya ‘imej yang lebih baik’.
“Kita memerlukannya jika kita mahu negara kita maju,” katanya sambil menambah bahawa pendidikan adalah titik permulaan.
Mereka menghadapi pelbagai cabaran, tetapi pihak berkuasa di Tripoli bercakap tentang inisiatif baharu untuk pembangunan digital, dengan tumpuan kepada golongan muda.
“Libya tidak kekurangan apa-apa, baik sumber manusia, kecerdasan, mahupun keazaman golongan muda,” kata jurucakap kerajaan, Mohammed Hamouda kepada AFP pada majlis itu.
“Apa yang hilang ialah kestabilan jangka panjang dan visi strategik untuk menyokong golongan muda.” – AFP

