Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Kajian Perniagaan ICT yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) Brunei Darussalam pada 2019 mendapati bahawa hanya 16 peratus perniagaan tempatan yang menjual produk-produk mereka atas talian (online).
Ia menunjukkan bahawa sebilangan besar perniagaan tempatan masih lagi belum memanfaatkan e-dagang dan adanya banyak peluang bagi usahawan memanfaatkan kaedah penjualan atas talian kerana terdapat penyedia platform tempatan yang sedia untuk membantu mereka menjadi pemain e-dagang.
Walaupun penyertaan perniagaan bagi e-dagang masih rendah, kita perlu memberikan penekanan dengan mempromosikan pembelian atas talian kepada penjual-penjual e-dagang tempatan bagi menjana pendapatan yang boleh menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dalam ucapan alu-aluannya semasa perasmian Brunei Cybershop Fair 2020 yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Onecity, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Pengerusi AITI, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Haji Jailani dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa AITI terus berusaha untuk menggalakkan orang ramai membeli-belah dan berdagang secara atas talian khususnya menerusi penjual e-dagang tempatan serta pada masa yang sama, menggalakkan penyertaan kalangan masyarakat. Ke arah itu, jelasnya, AITI telah melaksanakan siri ceramah kesedaran e-dagang kepada orang ramai menerusi Program Belia dalam e-dagang yang menyasarkan golongan belia supaya mereka dapat memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan oleh e-dagang untuk mendalami perniagaan secara atas talian supaya mereka dapat menjana pendapatan sendiri.
Di samping itu, AITI juga telah merangka sebuah program Digital Savviness untuk warga emas yang mengajar mereka mengenai asas dan peluang dalam e-dagang, membeli-belah atas talian dengan selamat dan perbankan atas talian.
Sehingga hari ini, tambahnya, lebih 300 belia dan 80 warga emas telah menyertai program-program berkaitan e-dagang sejak ia mula diperkenalkan pada Ogos 2019.
Terdahulu dalam ucapannya, Haji Jailani mendedahkan bahawa menurut kajian bersama yang dikendalikan oleh Google dan Temasek Holdings, ekonomi internet Asia Tenggara termasuk e-dagang dijangka bernilai lebih AS$240 bilion menjelang 2025.
Kajian itu meliputi enam ekonomi internet maju di rantau berkenaan iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina dengan sebab utama bagi perkembangan itu ialah pertumbuhan asas internet serantau. Di samping itu, lebih 90 peratus penduduk di rantau berkenaan mendapat akses internet mereka melalui telefon pintar sekaligus menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau internet mudah alih (mobile-first internet) yang paling dominan di dunia.
Brunei CyberShop Fair merupakan platform penjual-penjual e-dagang tempatan berkumpul mengetengahkan produk serta perkhidmatan mereka dan pada masa yang sama, menawarkan promosi serta diskaun yang menarik kepada pengguna. Pameran itu akan berlangsung selama tiga hari hingga 2 Februari yang disertai oleh sebanyak 25 penjual e-dagang yang mempromosikan produk serta perkhidmatan.