HANOI, 22 JULAI – Vietnam mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan eksport beras dalam masa berbaki lima bulan pada tahun ini kerana permintaan beras di peringkat global masih tinggi, lapor Xinhua yang memetik media tempatan Cong Ly, hari ini yang merujuk kepada Kementerian Perindustrian dan Perdagangan.
Menurut Jabatan Import-Eksport kementerian itu, selepas tempoh yang lama harga eksport meningkat, penurunan harga beras Vietnam adalah mengikut trend harga beras global.
Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Phung Duc Tien berkata kementerian kini memberi keutamaan utama kepada pengeluaran benih berkualiti tinggi, produk eksport utama dan pembentukan varian berkualiti dengan hasil yang tinggi, tahan penyakit serta mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai iklim.
Menurut kementerian itu, eksport beras Vietnam dalam enam bulan pertama 2024 adalah titik terang, dengan jumlah 4.68 juta tan dan hasil sebanyak AS$2.98 bilion, meningkat 10.4 peratus dalam jumlah dan 32 peratus dalam nilai berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Kementerian menjangkakan Vietnam akan mengeksport kira-kira 8 juta tan beras tahun ini, dengan hasil melebihi AS$5 bilion.
Filipina, Indonesia, China, Ghana, Malaysia dan Singapura adalah pasaran eksport utama beras Vietnam bagi baki tahun ini. – Bernama
