Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Lebih 100 warga emas berpeluang mengenali dan memahami teknologi masa depan melalui Bengkel Mengenali Kecerdasan Buatan (AI) bagi Warga Emas yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan 2, Berakas, pagi tadi.
Bengkel anjuran Kumpulan WELEARN.AI (Warga Emas Learning AI) itu merupakan salah satu projek Community Outreach di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan Kali ke-36 (EDPMMO-36), dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai teknologi AI serta menggalakkan penggunaannya secara positif dalam kalangan warga emas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan bengkel ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif itu merupakan usaha penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital negara.
“Seiring dengan hala tuju Wawasan Brunei 2035, kita mahu memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan digital. Ia termasuk warga emas yang tetap menjadi tunjang penting dalam keluarga dan masyarakat kita,” ujarnya.







Beliau menekankan meskipun AI sering dianggap rumit, ramai masyarakat sudah menggunakannya dalam kehidupan harian tanpa disedari, sama ada melalui cadangan video dan muzik dalam media sosial, ramalan perkataan dalam telefon pintar, mahupun penggunaan arahan suara bagi mengawal peralatan rumah.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan mengenai cabaran keselamatan digital yang wujud seperti penipuan deepfake, panggilan palsu yang meniru suara ahli keluarga, skim pelaburan palsu serta video manipulasi yang mampu mencetuskan kebimbangan dan perpecahan.
“Inilah sebabnya program hari ini amat penting, bukan hanya memperkenalkan manfaat AI, tetapi juga mengongsikan ilmu dan memberi keyakinan untuk berhadapan de-ngan cabaran digital,” tambah beliau sambil merakamkan penghargaan atas kehadiran sukarelawan belia Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai AI buddies untuk membantu warga emas memahami teknologi dengan lebih mudah.
Beliau turut meninggalkan tiga pesanan mudah kepada para peserta untuk diamalkan setiap kali menerima mesej, panggilan atau video, iaitu berhenti sejenak dan jangan terburu-buru mempercayai; sahkan dahulu dengan ahli keluarga atau sumber yang diyakini dan jangan sebarkan jika masih ragu-ragu.
“Dengan langkah mudah ini, marilah kita sama-sama memanfaatkan AI dengan bijak – iaitu mengambil kebaikannya untuk memudahkan hidup, dan pada masa yang sama melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada risiko penipuan,” jelasnya.
Turut hadir Ketua Kumpulan WELEARN.AI, Dayang Muna Zawani binti Haji Md Idris.
Sementara itu, bengkel berkenaan turut menampilkan perkongsian daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, Cyber Security Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Payung Aman yang mengetengahkan pelbagai aspek penggunaan teknologi serta keselamatan digital.
Inisiatif itu turut mendapat sokongan daripada rakan kongsi dan penaja termasuk BIBD, imagine Sdn Bhd, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Payung Aman, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Daerah Brunei dan Muara, UNISSA, Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei Muara dan Pertubuhan WARGAMAS.

