LONDON, 13 OGOS – Pelukis jalanan, Banksy kelmarin mendedahkan mural baharu seekor badak sumbu yang kelihatan seperti sedang memanjat ke atas kereta di London yang merupakan karya seni kelapan bertemakan haiwan yang telah dikongsi olehnya sepanjang minggu lalu dalam koleksi yang merangkumi gajah, kambing, serigala, burung pelikan dan banyak lagi.
Artis grafiti yang penuh misteri ini, yang tidak pernah mengesahkan identiti penuhnya, telah berkongsi karya baharu itu di akaun Instagramnya setiap hari sejak Isnin lalu. Karya terbaharu ini terletak di Charlton, tenggara London, yang menampilkan gambar seekor badak sumbu di dinding dan memberikan gambaran bahawa haiwan itu sedang memanjat kereta rosak yang diletakkan di hadapan bangunan.
Pada Ahad, pelukis itu mendakwa satu lagi karya seni miliknya yang menggambarkan sekumpulan ikan piranha yang muncul pada kotak polis berhampiran Mahkamah Jenayah Pusat, yang juga dikenali sebagai Old Bailey, di London.
Orang ramai kelmarin berduyun-duyun berkumpul ke karya seni yang bertemakan tangki ikan, mengambil gambar dan swafoto ketika pekerja meletakkan penghadang di sekelilingnya. Jurucakap City of London Corporation berkata mereka sedang menimbang pilihan untuk memeliharanya.
Karya seni lain yang didedahkan minggu lalu termasuk burung pelikan yang muncul di tepi kedai ikan di Walthamstow, timur London, dan siluet serigala melolong yang dilukis pada piring satelit di atas bumbung sebuah garaj di selatan London. – AP