GENEVA, 16 JUN — Pelumba basikal Switzerland, Gino Mader telah dibawa ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri selepas dia terjatuh ke dalam gaung semasa perlumbaan Tour de Suisse, kelmarin.
Mader yang berusia 26 tahun dan seorang penunggang lain, Magnus Sheffield dari Amerika Syarikat, terbabas dari jalan berhampiran tempat yang sama semasa menuruni kawasan berbukit menghampiri penghujung peringkat kelima menuju La Punt.
“Gino Mader terbaring tidak bergerak di dalam air,” kata penganjur perlumbaan dalam satu kenyataan. “Dia segera diselamatkan dan dihantar ke hospital Chur dengan ambulans udara.”
Penganjur berkata mereka sedang menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku.
Pasukan Mader, Bahrain-Victorious, berkata dia ‘tidak bertindak balas, diselamatkan di tempat kejadian dan kemudian diangkut dengan helikopter. Takziah buat Gino’.
Laluan peringkat itu dikritik oleh juara dunia, Remco Evenepoel, yang menduduki tempat ke-10 kelmarin dan keempat keseluruhan dalam perlumbaan lapan hari itu.
“Walaupun penamat di kawasan puncak bukit boleh dilakukan dengan sempurna, ia bukan keputusan yang baik untuk membiarkan kami menamatkan penurunan berbahaya ini,” tulis Evenepoel di akaun Twitternya. “Sebagai penunggang, kita juga harus memikirkan tentang risiko yang kita ambil ketika menuruni bukit.”
Sheffield mengalami gegaran otak dan lebam dan dirawat di hospital tempatan, kata penganjur.
Mader menduduki tempat kelima dalam perlumbaan Vuelta Sepanyol pada 2021 dan juga menduduki tempat kelima dalam perlumbaan peringkat Paris-Nice pada Mac. – AP


