PERTH, 27 NOV – Pelumba basikal trek, Matt Richardson, telah dilarang mewakili Australia seumur hidup selepas dia mengejutkan sukan itu dengan menyertai pasukan Britain hanya beberapa minggu selepas memenangi tiga pingat Olimpik.
Pelumba berusia 25 tahun itu meraih perak dalam acara pecut individu dan keirin serta gangsa dalam acara pecut berpasukan di Sukan Paris Ogos lalu.
Tetapi Richardson, yang dilahirkan di England sebelum berpindah ke Australia Barat ketika berusia sembilan tahun, kemudian mengumumkan dia menukar kewarganegaraannya.
Kajian oleh badan induk berbasikal Australia mendapati cara dia bertindak ‘bercanggah dengan nilai AusCycling, pasukan kebangsaan Australia dan komuniti berbasikal secara meluas.’
Akibatnya, dia tidak akan dapat menyertai semula pasukan berbasikal Australia.
“Dia juga dilarang menggunakan sebarang sumber yang dikaitkan dengan pasukan berbasikal Australia atau rakan kongsinya,” kata AusCycling, baru-baru ini.
Kajian itu mendakwa Richardson dan badan induk sukan berbasikal dunia, UCI, berpakat untuk merahsiakan pertukaran kewarganegaraannya sehingga selepas Sukan Olimpik, dengan sokongan British Cycling.
“Dia juga merahsiakan tindakannya itu daripada AusCycling, rakan sepasukannya, dan pihak berkepentingan utama sebelum temasya itu,” tambahnya.
UCI kelmarin berkata, mereka telah membuat perubahan pada tarikh (19 Ogos) yang dipohon oleh Richardson dan hanya Richardson yang terlibat dalam permintaan itu. – AFP