Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelumba Mercedes-AMG Petronas, Russell menangi GP Singapura

    SINGAPURA, 6 OKT – Pelumba Mercedes-AMG Petronas, George Russell muncul juara Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Singapura pada malam tadi dalam perlumbaan yang turut menyaksikan McLaren mengesahkan Kejuaraan Pengeluar 2025 dengan baki enam perlumbaan.

    Pelumba berusia 27 tahun itu yang bermula dari petak utama di Litar Marina Bay menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 40 minit 22.367 saat.

    Manakala, juara dunia empat kali, Max Verstappen daripada pasukan Red Bull yang bermula di belakang Russell berjaya mempertahankan kedudukannya untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan Lando Norris daripada McLaren berada di tempat ketiga bagi melengkapkan podium.

    Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri yang memulakan perlumbaan dari petak ketiga menamatkan saingan di tempat keempat diikuti pemandu Mercedes, Kimi Antonelli di tempat kelima.

    McLaren, yang memasuki Grand Prix Singapura dengan 623 mata, merangkul kejuaraan pengeluar untuk kali kedua berturut-turut dengan mengumpul 650 mata – mengatasi Mercedes (325 mata) dan Ferrari (300 mata) selepas perlumbaan semalam.

    Pasukan-pasukan seterusnya akan beraksi di Amerika Syarikat apabila dua pelumba McLaren, Piastri dan Norris akan meneruskan persaingan merebut kejuaraan pemandu dengan masing-masing mengumpul 336 dan 314 mata. – Bernama

    Reaksi George Russell dengan trofi di atas podium selepas perlumbaan F1 Grand Prix Singapura di Litar Jalan Marina Bay, Singapura malam tadi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda