Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Barisan pelumba basikal negara menunjukkan pencapaian yang membanggakan apabila berjaya meraih pingat perak dan gangsa dalam beberapa kategori di Kejohanan Trek Kebangsaan 2017 di Nilai, Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam acara pecut, pelumba-pelumba negara berjaya meraih pingat perak dalam acara perlumbaan ‘Scratch’, manakala mereka turut berjaya meraih tiga pingat gangsa dalam tiga kategori antaranya dalam Kategori Berpasukan, Kategori Pecut 200 Meter dan Kategori Pursuit Individu.
Sehubungan dengan itu, ketua jurulatih basikal kebangsaan, Awang Yafiz Jamaludin ketika dihubungi menegaskan kejohanan trek kebangsaan ini merupakan salah satu persiapan bagi penyertaan untuk sukan peringkat serantau. Menurutnya lagi, melalui penyertaan itu akan meningkatkan lagi pencapaian pelumba terutama dari aspek taktik dan teknik yang perlu dititik beratkan kerana baginya kecergasan para pelumba berada di tahap yang terbaik.
“Meskipun penyertaan di Nilai itu bukan di peringkat yang dihasratkan, namun ia memberikan pendedahan yang sememangnya diperlukan oleh para pelumba bagi menghadapi sukan-sukan yang lebih besar nanti,” ujarnya dengan tegas.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan peluang menyertai kejohanan itu sebagai satu pendedahan adalah tepat pada masanya kerana sebelum ini para pelumba negara sudah membuat persiapan intensif berdasarkan jadual yang dirangka oleh beliau.

“Latihan selama enam hari seminggu dan diselang-selikan dengan latihan di atas jalan raya dan trek serta latihan fizikal di gim telah banyak membantu para pelumba dan ia dihasratkan akan berjaya meneruskan momentum para pelumba untuk terus mengukir kejayaan,” kata Yafiz lagi.
Beliau menyatakan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia atas layanan, bantuan dan sokongan yang memuaskan dalam melancarkan lagi persiapan rapi pelumba-pelumba negara.
“Harapan saya untuk barisan pelumba adalah tinggi kerana apa yang kita perolehi nanti adalah hadiah buat negara dan ia akan dibuat sebaiknya dan saya mahu semua pelumba menjaga kesihatan sehingga kemuncak Sukan Asia Tenggara nanti. Saya percaya pelumba sendiri juga mahu menjaga kesihatan dan kesejahteraan pada tahap yang optimum,” tegasnya mengulas mengenai harapan kepada para pelumba.
Beliau menyeru agar semua penyokong dan peminat sukan lumba basikal mendoakan kejayaan pasukan negara dalam mana-mana penyertaan yaang disertai kerana ia secara tidak langsung akan menjadi pendorong dan motivasi kepada mereka bagi meraih sasaran yang diharapkan.