Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelumba tempatan maut dalam kemalangan di Sabah

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Seorang pelumba drag tempatan maut dalam satu insiden tragis kelmarin di Sabah, Malaysia, selepas terlibat dalam kemalangan semasa acara Sandakan Drag Battle R3 2024 yang diadakan di Litar Kelab Turf Sandakan, Batu 5.

    Kejadian tersebut berlaku pada jam 4:44 petang apabila mangsa, yang dikenali sebagai Abang Adib bin Abang Ali, 36, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.

    Menurut laporan media Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt K Ramasamy, menyatakan bahawa siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri litar perlumbaan selepas melintasi garisan penamat.

    “Mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang dipandunya dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba. Mangsa mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5:25 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menambah dalam satu kenyataan hari ini bahawa jenazah mangsa kini berada di unit forensik hospital sementara menunggu proses bedah siasat. Kes itu sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.

    Sementara itu, Kelab Sukan Permotoran RCO dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa acara Sandakan Drag Battle R3 2024 yang dijadualkan berlangsung semalam telah dibatalkan susulan insiden tersebut.

    Penganjur turut menyampaikan permohonan maaf atas pembatalan acara itu dan melahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.

    Rakaman insiden berdurasi 13 saat tersebut tular di media sosial, menunjukkan kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan di litar perlumbaan.

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda