Tuesday, November 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluncur Australia diserang ikan jerung

    CANBERRA, 14 MEI – Seorang lelaki Australia Selatan dikhuatiri maut selepas diserang ikan jerung ketika meluncur, lapor media tempatan hari ini.

    Lelaki berusia 46 tahun itu sedang berluncur di pantai popular di Great Australian Bight lebih 350km ke barat Adelaide, ibu kota negara Australia Selatan (SA), apabila dia diserang kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan semalam.

    Polis dan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dipanggil ke tempat kejadian oleh beberapa saksi yang melihat serangan itu dan lebih daripada setengah puluhan bot dan jet ski dikerahkan untuk mencari kawasan itu sepanjang hari sebelum disambung semula hari ini.

    Pihak berkuasa hari ini mengesahkan bahawa mereka menemui papan luncur lelaki itu.
    Trevlyn Smith, pengurus unit SES tempatan, berkata, sehingga 16 peluncur menyaksikan serangan itu.

    “Jelas ada beberapa orang berada dalam air dan daripada apa yang saya dengar ada saksi yang melihat insiden serangan itu,” katanya dipetik oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC).

    The Great Australian Bight terbentang luas lebih 1,000km dan terkenal dengan populasi jerung yang besar, termasuk jerung putih ganas.

    Jaiden Millar, 22, berada di dalam air, meluncur semalam apabila lelaki itu diserang. Dia menggambarkan insiden itu sebagai tragik.

    “Ia merupakan insiden yang begitu mengejutkan.

    “Saya melihat papan luncurnya tenggelam, bermakna dia berada di bawah air dan papan luncurnya ditarik ke bawah dan cuba untuk kembali ke permukaan,” katanya – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda