Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluncur hilang selepas diserang jerung

    SYDNEY, 12 MAC – Seorang peluncur yang hilang di Australia Barat telah diserang oleh jerung, kata polis, selepas pasukan mencari menemukan papan yang menunjukkan kesan gigitan.

    Lelaki itu diserang oleh ikan jerung ketika meluncur di pantai terpencil di Australia Barat Isnin lalu, kata polis, dalam serangan maut keempat di negara itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Ketika operasi mencari kelmarin tidak membuahkan hasil, sarjan kanan Pasukan Polis Australia Barat, Christopher Taylor berkata peluncur itu telah diserang oleh seekor jerung.

    “Malangnya pencarian tersebut tidak menemui mayat peluncur itu. Saya boleh mengesahkan bahawa pencarian kami adalah pemulihan, bukan penyelamatan,” tambahnya.

    Lelaki yang tidak disebutkan namanya itu, berusia 30an, telah bermain luncur di Wharton Beach, sebuah tanjung pasir putih terletak kira-kira 90 kilometer dari timur hab wilayah Esperance.

    “Sebuah papan luncur dengan bukti kesan gigitan ditemui dari air,” kata Polis Australia Barat dalam satu kenyataan berasingan kelmarin.

    Pada Februari lalu, seekor jerung membunuh seorang gadis berusia 17 tahun semasa dia berenang di pulau timur Australia, manakala seorang peluncur air berusia 28 tahun maut dibaham jerung di Australia Selatan pada bulan sebelumnya.

    Beberapa hari sebelum itu, pada 28 Disember, seorang paderi berusia 40 tahun terbunuh selepas diserangan jerung ketika dia memancing di perairan Queensland. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda