Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Wakil-wakil daripada sektor swasta, agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kanan serta delegasi negara-negara ahli CPTPP berpeluang untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam acara penglibatan pihak berkepentingan CPTPP yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi kelmarin.
Acara penglibatan pihak berkepentingan CPTPP itu telah diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Hal Ehwal Global Kanada dan Jabatan Perniagaan dan Perdagangan, United Kingdom (UK).
Acara yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah itu bertujuan untuk membarigakan dan mempromosikan kegunaan CPTPP serta menyediakan peluang rangkaian bagi syarikat dan agensi yang berkenaan.

Pada acara itu, Penolong Timbalan Menteri bagi Dasar dan Runding Perdagangan, Hal Ehwal Global Kanada dan Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan CPTPP 2024, Bruce Christie, menekankan kepentingan dalam melibatkan perniagaan untuk mendapatkan kesimpulan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri serta membentuk dasar perdagangan yang dapat membantu meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga menyatakan acara itu diharapkan dapat memperluaskan penggunaan CPTPP yang mana ia merupakan salah satu keutamaan Kanada selaku pengerusi bagi 2024.


Acara itu turut mengetengahkan beberapa sesi taklimat termasuk pembentangan oleh Pengarah Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Nor Zelina binti Haji Momin yang memberikan gambaran ringkas mengenai CPTPP termasuk perspektif Negara Brunei Darussalam mengenai perjanjian itu.

Sementara itu, Setiausaha Pertama, Dasar Perdagangan, Kedutaan Kanada ke Jepun, Pirkko Penttila membentangkan mengenai akses pasaran untuk perniagaan melalui kadar tarif yang lebih rendah di bawah CPTPP serta Timbalan Pengarah, Jabatan Perniagaan dan Perdagangan, UK dan Timbalan Pegawai Kanan CPTPP, Rob Cook pula menekankan mengenai penumpuan CPTPP terhadap meliberalisasi dan memudahkan perdagangan dalam perkhidmatan serta memastikan promosi dan perlindungan pelaburan dalam kalangan ahlinya.
Acara diteruskan dengan sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif, Dasar Perdagangan dan Rundingan (Asia), Hal Ehwal Global Kanada, Darren Smith dan Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI), Hajah Nur Raihan binti Dato Paduka Haji Mohd Rosli yang mengongsi pengalaman dan pandangan mengenai penggunaan peruntukan CPTPP apabila mengeksport ke beberapa ahli ekonomi CPTPP.
Manakala itu, Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dalam ucapan penutupnya menyatakan CPTPP akan dapat memberi peluang yang luas bagi perdagangan dan pelaburan terutamanya melalui akses kepada dan daripada pasaran baharu seperti Kanada, Chile, Peru dan Mexico serta akan datang, UK.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CPTPP dialu-alukan untuk melayari laman sesawang, bruneitrade.mofe.gov.bn.