BEIJING, 26 OKT – Pemain badminton China mara ke perlawanan akhir dalam tiga acara pada kejohanan Badminton Terbuka Perancis, kelmarin.
Dalam perlawanan tumpuan perseorangan wanita, bintang China, Chen Yufei bertarung selama 87 minit menentang pemain No. 1 dunia dari Korea Selatan An Se-young, yang akhirnya menang 23-21, 18-21, 21-16.
Dalam satu lagi separuh akhir perseorangan wanita, pemain China Wang Zhiyi menewaskan rakan senegaranya, Han Yue 21-14, 20-22, 21-14 untuk menempah tempat ke final.
Aksi separuh akhir beregu wanita turut menyaksikan pertarungan sesama pemain China apabila Li Yijing dan Luo Xumin menumpaskan juara Olimpik Chen Qingchen dan Jia Yifan 21-16, 21-17. Li dan Luo akan berdepan gandingan Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto di perlawanan akhir.
Dalam separuh akhir beregu campuran, pasangan China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping bangkit untuk menewaskan pasa-ngan Hong Kong, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet 20-22, 21-17, 21-16. Mereka akan menentang pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran bagi merebut gelaran juara.
Bagi acara perseorangan lelaki, pemain China, Li Shifeng memenangi set pertama 21-15 sebelum pemain Denmark, Anders Antonsen bangkit untuk menang 21-19, 21-13 di separuh akhir, manakala pemain tuan rumah Christo Popov mara ke final selepas menewaskan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam pertarungan dua set.
Perlawanan akhir beregu lelaki pula akan menemukan pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dengan gandingan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri.
Kelima-lima perlawanan akhir dijadualkan berlangsung hari ini. – Bernama


