Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain badminton China meninggal dunia

    INDONESIA, 2 JULAI – Seorang pemain badminton China berusia 17 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah di gelanggang semasa kejohanan di Indonesia, kata pegawai kelmarin.

    Zhang Zhijie tiba-tiba jatuh sakit semasa perlawanan Ahad lalu menentang Kazuma Kawano dari Jepun di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta.

    Kedudukan terikat 11-11 pada perlawanan pertama apabila Zhang jatuh ke lantai.

    Remaja itu menerima rawatan di tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans, tetapi meninggal dunia malam itu selepas usaha berulang kali dilakukan untuk memulihkannya tetapi gagal.

    “Kesimpulan perubatan… menunjukkan bahawa mangsa mengalami serangan jantung mengejut,” kata Jurucakap Persatuan Badminton Indonesia (PBSI), Broto Happy, pada sidang media di Yogyakarta.

    Ibu bapa Zhang sedang menuju ke bandar untuk mengambil jenazahnya, katanya.

    Jurucakap itu mempertahankan tindakan kakitangan perubatan dan penganjur tempatan selepas rakaman menunjukkan tindak balas teragak-agak terhadap remaja itu semasa jatuh tersungkur di atas gelanggang. – AFP

    Presiden Badminton Asia, Kim Joong-soo, semasa menyampaikan ucapan takziah pada sidang akhbar berikutan meninggalnya mendiang Zhang Zhijie yang rebah pada 30 Jun semasa perlawanan pusingan awal dalam kejohanan Asia Junior, di Yogyakarta pada 1 Julai 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda