Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain Barca dirai ribuan peminat

    BARCELONA, 16 MEI – Pemain Barcelona daripada pasukan lelaki dan wanita disambut oleh beribu-ribu penyokong di jalanan bandar itu petang kelmarin untuk meraikan kejuaraan dwi liga mereka.

    Pasukan Xavi Hernandez menewaskan Espanyol pada Ahad untuk memenangi kejuaraan liga ke-27 kelab itu dan pertama sejak 2019, manakala pasukan wanita Barca memperoleh kemenangan Liga F keempat berturut-turut pada akhir April.

    Para pemain menaiki dua bas terbuka, menuju dari Camp Nou ke monumen Arc de Triomf sejauh lima batu dari bandar, jalanan dipenuhi penyokong gembira walaupun hujan.

    Pemain pertahanan Ronald Araujo disarungkan dengan bendera Uruguay, manakala penjaring terbanyak La Liga Robert Lewandowski, memakai cermin mata hitam dan selendang Barcelona, melambai kepada peminat.

    Pemain dari kedua-dua belah pasukan memakai baju kemeja yang bertulis ‘liga adalah milik kita, masa depan juga’.

    Pemain dan kakitangan pasukan bola sepak lelaki FC Barcelona berbaris menaiki bas terbuka untuk meraikan kejuaraan La Liga mereka di Barcelona. – AFP

    Orang ramai semakin bertambah apabila bas menghala ke laluan mereka, ke dataran utama, Plaza Catalunya dan kemudian ke arah Arc.

    “Awda boleh lihat peminat sangat teruja mengenainya dan jelas kami juga begitu,” kata penjaga gol Marc-Andre Ter Stegen kepada televisyen kelab.

    “Adalah suatu kebanggaan untuk berkongsi perkara ini dengan mereka dan menjadikan mereka lebih dekat berbanding sebelum ini.”

    Perasaan dalam kalangan penyokong adalah positif, seperti yang dijangkakan semasa perarakan, walaupun mereka menjangkakan lebih banyak daripada kedua-dua pasukan di Eropah.

    Wanita Barcelona telah mara ke final Liga Juara-Juara, di mana mereka akan menentang Wolfsburg di Eindhoven pada 3 Jun, manakala pasukan lelaki tersingkir daripada Liga Juara-Juara dalam peringkat kumpulan untuk musim kedua berturut-turut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda