Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain diraikan dalam majlis malam penghargaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 1 MAC – Kelab Bola Sepak Bang Dalam (Bang Dalam FC) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penghargaan bagi Skuad Bawah 16 Tahun (U-16) Bang Dalam FC 2019 bagi Kejohanan Liga Belia Bawah 16 Tahun Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam(NFABD)2019.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Kelab, Haji Abdul Arif Faiz bin Haji Bulat.

    Semasa majlis tersebut Haji Abdul Arif Faiz meluahkan rasa bangga atas pencapaian keseluruhan pemain dengan menduduki di tempat keempat dalam kejohanan tersebut.

    Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli pengurusan kelab dan jurulatih-jurulatih atas semua usaha mereka mengendalikan latihan-latihan demi meningkatkan permainan dan kemahiran individu para pemain kelab tersebut.

    Turut hadir ke majlis itu ialah ahli-ahli jawatankuasa tadbir dan ahli-ahli kelab tersebut.
    Sementara itu, Mesyuarat Agung Kelab kali ke-9 2021 telah diadakan sebelum majlis penghargaan itu berlangsung.

    Pada malam itu, sijil-sijil penyertaan dan penghargaan telah disampaikan kepada semua pemain kelab berkenaan dan diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemain terbaik keseluruhan U-16 Bang Dalam FC bagi tahun 2019.

    Muhammad Amiruddin bin Haji Abdul Wahab diumumkan sebagai penerima Anugerah Penjaring Terbanyak manakala itu Anugerah Pemain Terbaik Keseluruhan diberikan kepada Addy Affandy bin Ariffin.

    Sementara itu penjaga gawang, Mohd Terry Henry bin Abdullah Mohd Adri Shorddy dipilih sebagai penerima Hadiah Galakan daripada Jurulatih.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai seterusnya menikmati jamuan makan malam.

    Pemain-pemain Bang Dalam FC bergambar ramai selepas majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda