PALERMO, 2 OGOS – Seorang pemain telah diuji positif koronavirus di Kejohanan WTA Terbuka Palermo, yang menandakan musim tenis kembali disambung semula selepas lima bulan digantung, menurut WTA dan penganjur yang mengesahkan perkara tersebut kelmarin.
Peserta tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala, menarik diri beberapa minit sebelum kelayakan bagi kejohanan yang bermula minggu ini di Sicily pada 3 Ogos.
Peserta tersebut tidak didedahkan namanya tetapi tidak lama selepas itu, pemain ranking ke-130, Viktoriya Tomova berasal dari Bulgaria mengumumkan bahawa dia telah mengumumkan menarik diri dari kelayakan disebabkan oleh demam.
“Keberkesanan protokol dan kawalan telah membolehkan kami untuk memintas kes positif di kalangan pemain yang tiba d Palermo,” kata Professor Antonio Cascio, konsultan anti-COVID kejohanan.
“Pemain yang sama, menunggu keputusan ujian, terpaksa kekal berada di bilik hotelnya.” WTA mengesahkan bahawa kejohanan akan masih diteruskan seperti yang dirancang.
“Sebagai tambahan, kepada mereka yang telah menjadi kontak rapat dengan individu tersebut akan menjalani ujian menurut protokol WTA,” tambah WTA.
Kejohanan Palermo akan menjadi kejohanan tenis pertama diadakan sejak ia ditangguhkan pada bulan Mac lalu. Jadual kejohanan tenis telah terjejas dengan penangguhan Terbuka Perancis pada 27 September kepada 11 Oktober, dan pembatalan kejohanan Wimbledon.
Terbuka AS yang dijadualkan bermula pada 31 Ogos dengan keadaan kuarantin akan berlangsung di New York tanpa kehadiran peminat. – AFP
