KUALA LUMPUR, 24 FEB – Generasi muda yang bercita-cita bergelar pemain profesional sukan elektronik (e-sukan) disaran supaya tidak mengabaikan kepentingan pelajaran dalam usaha menjadikan sukan berasaskan permainan video itu sebagai kerjaya.
Saranan itu dilontarkan jaguh FIFA21 Malaysia, Muhammad Luqman Hajiman susulan bimbang elemen keseronokan di gelanggang maya yang bersifat sementara berupaya ‘menjerat’ minat dan perhatian individu lantas mengalih pandangan daripada perkara lebih mustahak.
Bagi penuntut Universiti Malaya berusia 24 tahun itu, beliau menganggap pelajaran sebagai komponen terpenting dalam kehidupan dan mampu menjamin kelangsungan hidup seseorang atlet pada masa depan manakala industri e-sukan secara amnya boleh disifatkan belum stabil.
Beliau berkata kehidupan pemain profesional e-sukan sering digambarkan indah namun sepanjang tiga tahun memegang gelaran itu, pelbagai dugaan dan rintangan membuka matanya akan kepentingan pelajaran dalam apa-apa jua yang dilakukan.
“Itu (kepentingan pelajaran) yang selalu saya tekankan walaupun memang ada niat mendalam hendak jadi pemain profesional dalam apa-apa saja berkaitan permainan video, pelajaran itu penting sebagai rancangan sandaran sekiranya apa yang kita hajatkan tidak menjadi,” katanya kepada Bernama. – Bernama