BILBAO, 17 SEPT – Pemain gantian Arsenal, Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard menjaringkan gol pada saat-saat akhir untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, semalam.
Pasukan yang tersingkir di separuh akhir musim lalu itu memulakan kempen dengan langkah kanan di San Mames, dalam perlawanan pertama daripada lapan perlawanan peringkat kumpulan, selepas menewaskan tuan rumah dalam pertembungan yang sengit.
Skuad Mikel Arteta, yang memburu kejuaraan utama pertama sejak 2020 dan kemenangan sulung dalam Liga Juara-Juara, memulakan kejayaan mereka dengan aksi bertahan yang mantap serta jaringan lewat permainan.
Martinelli meledak gol pada minit ke-72, hanya 36 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sebelum Trossard menambah gol kedua pada minit ke-87, kedua-duanya saling membantu dalam jaringan masing-masing.
“Kami bermain dengan semakin baik semasa perlawanan. Pada separuh masa kedua kami bermain dengan lebih bebas, lebih dominan dan pemain gantian memberikan impak untuk kami memenangi perlawanan,” kata Arteta kepada pemberita.

“(Pemain gantian) sekurang-kurangnya sama penting, malah kadang-kadang lebih penting.
“Kami telah berbincang mengenainya, di mana pemain gantian akan lebih penting pada musim ini berbanding pemain utama, kerana mereka mampu mengubah rentak permainan apabila pasukan lawan mula menurun.”
Athletic, yang kembali ke kejohanan itu buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun, bermula dengan baik dibantu sokongan padu penyokong tuan rumah.
Jurulatih mereka, Ernesto Valverde, menurunkan kesebelasan utama yang kesemuanya membuat penampilan sulung Liga Juara-Juara, termasuk penyerang utama Inaki Williams, tetapi tanpa adiknya, Nico Williams, yang cedera.
Arsenal pula menurunkan empat pemain Sepanyol, termasuk dua pemain tengah Basque, Mikel Merino dan Martin Zubimendi, yang pernah bermain bersama seteru Athletic, Real Sociedad.
Terdahulu, The Gunners tanpa beberapa pemain utama termasuk Bukayo Saka, mula menguasai permainan melalui gerakan Viktor Gyokeres dan Noni Madueke di bahagian sayap kanan.
Penyerang Sweden, Gyokeres, hampir membuka jaringan apabila rembatan awalnya diselamatkan Unai Simon sebelum tandukannya sedikit tersasar selepas menerima hantaran berbahaya daripada Jurrien Timber. – AFP

