Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain golf kini beraksi semula

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Pembukaan semula padang golf dan kemudahan lainnya pada fasa pertama pelan de-escalation telah menarik penyertaan hampir 90 orang pemain bagi pendaftaran di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei (RBGC), baru-baru ini.

    Semasa tinjauan media juga mendapati para pemain golf dilihat sentiasa mematuhi peraturan penjarakan sosial semasa berada di padang golf berkenaan dengan masing-masing memainkan peranan penting dan tanggungjawab dalam sama-sama menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal.

    Selepas pelan de-escalation yang diumumkan baru-baru ini, peminat golf di negara kini dibenarkan bermain di padang selepas penyambungan semula aktiviti golf selepas dua bulan dihentikan sejak Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19.

    Di bawah fasa pertama yang juga dikenali sebagai Operational Readiness Level 1, empat jenis kompleks sukan dan kemudahan dibenarkan dibuka semula iaitu gim dan pusat kecergasan, padang golf dan kemudahan sukan indoor dan outdoor.

    Ketika negara ini memasuki tahap kedua daripada pelan de-escalation yang dilaksanakan pada pertengahan bulan ini, setiap perlawanan kini dibolehkan untuk disertai oleh empat pemain, berbanding dua orang sahaja pada fasa pertama.

    Seorang pemain golf dilihat beraksi selepas penyambungan semula aktiviti golf sejak dua bulan dihentikan akibat penularan pandemik COVID-19.

    Bagaimanapun seperti yang dinyatakan di bawah garis panduan fasa pertama, setiap kenderaan buggy hanya dibenarkan untuk seorang sahaja.

    Setiap tempahan pula hanya akan diperuntukkan kepada empat pemain sahaja dengan setiap individu dikehendaki menempah slot mereka sehari lebih awal dengan mematuhi garis panduan untuk padang golf.

    Pemain golf perlu mendaftar sebelum menggunakan kemudahan dan mengimbas kod QR mereka melalui aplikasi BruHealth.

    Menurut seorang kakitangan di RBGC, semua kenderaan buggy akan dibersihkan sebelum dan selepas setiap sesi dalam memastikan tahap kebersihan sentiasa terjamin untuk para pengguna.

    Oleh kerana perkongsian peralatan sukan tidak dibenarkan di bawah garis panduan, maka tiada kemudahan kelab disediakan terutama untuk digunakan di kemudahan padang golf.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda