Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain import semakin mendapat tumpuan di China

    CHONGQING, China – Beliau tidak mempunyai kemasyhuran – atau memiliki gaji besar – seperti pemain dari Shanghai, Carlos Teves atau Oscar, dan nama samaran beliau sering dipandang buruk oleh masyarakat umum di sana.

    Tetapi buat Fernandinho, salah seorang pemain bola sepak Brazil yang meningkat naik di China, sedang merapatkan jurang kebudayaan yang luas dan mendapat iktiraf selebriti di bandar barat daya Chongqing.

    Pada pukul 10:45 pagi, beliau tiba di gim, di mana beliau meregangkan badan sebelum mengangkat berat, bersama rakan sepasukannya yang berbangsa Cina. Beliau begitu terkenal di bandar raya tersebut dengan gelaran ‘Xiao Hei’, atau ‘Little Black’. Ia merujuk kepada usianya yang baru 24 tahun, dan kulitnya berwarna hitam.

    Walaupun sesetengah orang mungkin tersinggung, namun Fernandinho tidak mengendahkannya.

    “Perbezaan budaya adalah luas … Masyarakat Brazil dikatakan sangat riuh, dan orang-orang di China pula lebih menjaga tatasusila,” katanya.

    Fernandinho (tengah) semasa membuat latihan di kelab bola sepak di barat daya China, Kawasan Perbandaran Chongqing. – AFP
    Fernandinho (tengah) semasa membuat latihan di kelab bola sepak di barat daya China, Kawasan Perbandaran Chongqing. – AFP
    Fernandinho diiktiraf selebriti di bandar barat daya Chongqing. – AFP
    Fernandinho diiktiraf selebriti di bandar barat daya Chongqing. – AFP

    “Namun semua orang melakukan semampu yang boleh untuk berkomunikasi, dan saya sering membuat lawak bersama rakan sepasukan saya yang berbangsa Cina, juga melakukan hal yang sama.”

    Beliau tiba di Chongqing, sebuah metropolis yang mempunyai 8.5 juta penduduk – kira-kira bersamaan dengan penduduk Switzerland – pada musim panas pada tahun 2015, selepas mempunyai pengalaman yang bercampur baur di Estoril dalam Liga Primeira Portugal.

    Kini, beliau adalah salah seorang pemain Brazil berusia 24 tahun yang bermain dalam Liga Super China 16-sepasukan. Beliau juga antara 78 pemain asing yang berpindah ke negara itu pada tahun-tahun kebelakangan ini, di mana Presiden China Xi Jinping memahukan China untuk menjadi sebuah pasukan bola sepak terkemuka dunia dengan peruntukan bajet yang besar.

    Beberapa pemain telah menjadi berita utama atas pembayaran gaji mereka yang tinggi dan mempunyai gaya hidup mewah. Oscar, bekas bintang Chelsea, dibayar $24 juta euro setahun oleh Shanghai SIPG dan tinggal di sebuah pangsapuri mewah berkeluasan 400 meter persegi (4,300 kaki persegi) dengan pemandangan menuju dermaga Shanghai Bund, menurut laporan-laporan media.

    Tetapi tidak seperti beberapa bintang ternama, Fernandinho telah menjalani kehidupan berjimat cermat.

    “Pemain bola sepak asing muncul bukan hanya kerana wang, tetapi juga untuk mengambil bahagian dalam ledakan permainan bola sepak ini,” katanya.

    Di Brazil, Fernandinho bermula di Flamengo, sebuah kelab berprestij di Rio dengan mempunyai penyokong yang ramai, di mana saingan adalah sengit. Kelab dari China, Chongqing Dangdai Lifan, mempunyai cita-cita yang lebih sederhana. Musim lalu, pasukan tersebut berada di tangga ke-8 daripada 16 buah pasukan pada Liga Super itu dan merasa sangat gembira kerana masih berada dalam liga tersebut.

    Itu membuatkan Fernandinho seperti ‘seekor ikan besar berada di dalam sebuah kolam yang kecil’: Beliau adalah bintang pasukan, bermain pada setiap permainan, dan menarik ramai peminat ke sebuah stadium yang berkapasiti 60,000 penonton. Salah sebuah pemegang saham kelab itu, Lifan Motors, juga menghasilkan motosikal ‘edisi terhad Fernandinho’, yang juga mempromosikan pemain itu sendiri.

    Pemain dari Brazil itu berkata bahawa beliau “sangat gembira” berada di kelab itu dan mencuba untuk “menggandakan usaha bagi kepuasan hati peminat”. Tahap permainan di sana bukanlah seperti negara-negara popular lainnya: Kualiti Liga Super masih kurang, manakala pasukan kebangsaan China pada masa ini dalam kedudukan ke-81 dalam ranking dunia.

    Fernandinho (kanan) bergambar bersama rakannya di sebuah restoran di barat daya China, Kawasan Perbandaran Chongqing. – AFP
    Fernandinho (kanan) bergambar bersama rakannya di sebuah restoran di barat daya China, Kawasan Perbandaran Chongqing. – AFP

    Tetapi cita-cita Xi untuk menjadikan negara itu sebagai tuan rumah dan seterusnya memenangi Piala Dunia telah meningkatkan harapan dan pihak kerajaan menyokong terhadap inisiatif-inisiatif yang dirancang.

    “Kami bermain dengan baik di China … dan para pemain semakin kuat dan berpotensi untuk diketengahkan,” kata Fernandinho.

    Pemain dari Argentina, Tevez, dikatakan mempunyai gaji sebanyak AS$38 juta di Shanghai Shenhua, menjadikan beliau pemain yang menerima ganjaran terbaik dunia, sementara bintang Amerika Selatan termasuk Remires di Jiangsu Suning dan Alexandre Pato di Shanghai SIPG.

    Walaupun tinggal di China selama hampir dua tahun, namun perjalanan Fernandinho masih panjang sebelum membuat kehidupan baru sepenuhnya. Selain perkataan “nihao” (helo) dan “xiexie” (terima kasih), beliau masih belum menguasai bahasa Cina, dan hanya bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris.

    Apabila beliau berlatih, pergi ke bank, berurusan dengan birokrasi negara itu, kelab tersebut telah menyediakan seorang jurubahasa Cina yang boleh bertutur Portugis. Namun Fernandinho tidak keseorangan di tempat baru beliau itu: Penolong jurulatih kelab Chongqing juga seorang dari Brazil. Dan dia sering berhubung dengan rakan-rakan dan keluarganya melalui aplikasi telefon pintar.

    Dia masih belum biasa dengan masakan Cina. Beliau masih menyukai churrasco, salah satu masakan barbeku daripada Brazil, di mana beliau sering menikmatinya bersama rakannya di Chongqing.

    “Di kelab itu, mereka tahu tabiat saya, dan mereka menyediakan apa yang saya suka: nasi, telur dadar, kadang-kadang ayam, stik. Dan di rumah, saya makan makanan Brazil,” katanya.

    Kadang-kadang beliau makan tengah hari di Blue Frog, sebuah restoran burger dari Barat yang popular dan mempunyai sebuah tempat bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan bola sepak. Beliau membeli baju di kedai pakaian antarabangsa yang dikenali sebagai Chains.

    Fernandinho berkata, beliau banyak menghabiskan masa lapangnya di apartmen sewanya. “Saya bermain PlayStation saya, saya menonton filem … Kadang-kadang saya juga bermain pool, bowling dan merantau kawasan-kawasan menarik di China.”

    Dia masih mempunyai banyak masa untuk meneroka negara ini: kontraknya akan tamat pada penghujung tahun 2019. Adakah beliau masih ingin tinggal secara tetap di China, atau berkahwin dengan seorang wanita Cina?

    “Saya hanya menumpukan tumpuan saya kepada permainan bola sepak di sini,” katanya sambil ketawa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda