ATHENS, 10 OKT – Pemain Panathinaikos dan pasukan kebangsaan Greece, George Baldock ditemukan mati dalam kolam renang miliknya semalam, lapor akhbar Greece.
Pemain pertahanan kanan berusia 31 tahun kelahiran England itu mati di rumahnya di pinggir bandar selatan Athens, Glyfada, menurut agensi berita, ANA.
Liga Super Greece dan beberapa kelab mengucapkan takziah.
Televisyen kebangsaan ERT berkata pemain itu berada ‘di dasar kolam’ dan sebotol alkohol ditemui di tempat kejadian.
Menurut ANA, isteri Baldock, yang berada di luar negara, memaklumkan pemilik kediaman itu selepas gagal menghubungi pemain itu menerusi telefon.
Kereta polis dan ambulans berada di luar bangunan dan koroner dipanggil untuk memeriksa mayat, kata ERT.
Baldock menyertai Panathinaikos pada Mei lalu selepas tujuh tahun bersama Sheffield United, turun divisyen daripada Liga Perdana Inggeris ke Liga Kejuaraan musim lalu.
Berasal dari Greece menerusi bapanya, dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan Greece pada tahun 2022.
Dia sudah tampil 12 kali, tetapi tidak dipanggil bagi perlawanan Liga Negara-Negara menentang England di Wembley awal pagi esok kerana kecederaan, kata ERT. – AFP