BEIJING, 23 Feb – Pemain Hall of Famer NBA, Yao Ming meminta bagi reformasi ‘segera’ dan berkata dia menghadapi banyak masalah ketika dia dilantik menjadi presiden bagi Persekutuan Bola Keranjang China (CBA) hari ini.
Bekas pemain tengah Houston Rockets itu, 36, menduduki jawatan itu ketika China mencari bintang baru dan lebih banyak kejayaan bagi pasukan kebangsaan, yang secara meluas terbantut sejak persaraannya pada 2011.
Yao telah lama menasihatkan reformasi bagaimana bola keranjang berjalan di negaranya, yang gagal untuk menghasilkan seseorang yang hampir menyaingi kejayaannya.
“Pada ketika ini, perkara paling penting adalah reformasi CBA, yang perlu kita tetapkan dengan kitaran yang akan meningkatkan pengaruh dan semangat kita, dan membawa idea-idea baru ke depan,” dia memberitahu sidang akhbar di Beijing.
![Gambar fail pada 3 Februari 2017 menunjukkan bekas pemain Houston Rockets, Yao Ming. Dia berkata bahawa telah menghadapi banyak masalah ketika dia dilantik menjadi presiden bagi CBA. – AP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/NBA-pic_240217.jpg)
“Masalah terbesar adalah tidak terdapat ‘masalah besar’. Masalahnya ada di mana-mana. Saya percaya ini adalah perkara biasa untuk ditangani dalam proses reformasi.”
Dia tidak menyatakannya secara terperinci.
Yao yang dipetik oleh media China sebelumnya memberitahu CBA bahawa dia akan bertugas dengan penuh semangat seperti yang ditekankan oleh pihak berkuasa Parti Komunis bagi melakukan perubahan pengurusan sukan China, sebahagian dari usaha untuk menukar negara itu menjadi kuasa sukan.
Yao sebelumnya meminta perubahan ‘dengan tujuan utama memperbaiki tahap pasukan kebangsaan’, sambil tidak bergantung ke atas pemain luar ke dalam liga China.
Dia juga meminta untuk meningkatkan pengalaman peminat dalam apa yang dikatakan sebagai sukan paling popular di China. – AFP