RABAT, 1 Julai – Pemain Maghribi berusia 21 tahun yang juga beraksi di Piala Dunia, Amine Harti terlibat dengan kemalangan jalan raya di mana seorang pejalan kaki telah terkorban, menurut persatuan bola sepak Maghribi dan polis setempat kelmarin.
Harit memandu sebuah kereta yang berdaftar di Perancis apabila kemalangan itu berlaku di mana seorang lelaki berusia 30 tahun maut sejurus selepas tengah malam di Marrakesh, menurut pihak polis.
Menurut pihak polis lagi, adiknya yang berusia 14 tahun juga berada dalam kereta tersebut apabila kemalangan itu berlaku. Jurucakap polis berkata pasport Harit telah diambil dan diarahkan untuk hadir sebelum pendakwaan esok.
Harit, yang beraksi untuk kelab Bundesliga, Schalke 04 merupakan sebahagian daripada skuad Maghribi yang tersingkir selepas tewas dua perlawanan dan satu seri dalam pusingan pertama kejohanan Piala Dunia di Rusia.
Menurut kenyataan Schalke: “Pemandu kereta itu telah terlibat, dia gagal untuk mengelak daripada kemalangan tragik itu.”
Kelab yang berpangkalan di Gelsenkirchen menambah: “Amine dan semua pihak di FC Schalke ingin menyampaikan takziah kepada ahli keluarga mangsa.” Menurutnya, Harit telah menerima kaunseling.
Harit telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan semasa aksi antara Iran dan Maghribi meskipun pasukannya tewas. – AFP