KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Kesemua enam pemain skuasy remaja wanita negara melepasi peringkat kedua untuk ke peringkat seterusnya di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Juara Terbuka Remaja British tiga kali, Aifa Azman menempah tiket ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan Madeline Hylland dari Norway 11-5, 11-2, 11-9 dalam masa 19 minit dan akan bertemu lawan berusia 17 tahun Sanya Vats (India), yang pernah beliau kalahkan di Kejohanan Berpasukan Remaja Asia, awal tahun ini.
“Ia akan menjadi sukar, tetapi saya perlu kekal fokus di dalam gelanggang dan berharap semuanya berjalan sebaiknya. Saya yakin untuk menang, Saya perlu konfiden, jadi saya boleh lakukan yang terbaik dalam gelanggang. Jika saya tidak konfiden dengan diri saya, saya akan lakukan banyak kesilapan,” kata Aifa.
Sementara itu Juara Remaja Asia dua kali, Chan Yiwen hanya memerlukan 17 minit untuk menewaskan Lucia Bicknell dari Kanada 11-1, 11-1, 11-6. – Bernama