LONDON, 13 Ogos – Kelab Liga Perdana Scotland, Aberdeen telah mendapatkan khidmat penyerang Manchester United, James Wilson untuk perjanjian pinjaman selama semusim, menurut kedua-dua kelab hari ini.
Wilson yang berusia 20 tahun telah mencatat empat gol dalam 20 penampilan untuk United tetapi telah dipinjamkan ke Brighton, Derby dan Sheffield United.
“Saya teruja mendapatkan James secara pinjaman di mana beliau merupakan seorang pemain yang saya rasakan akan menjadi pemain penting untuk kami,” kata pengurus Aberdeen, Derek McInnes.
“Beliau merupakan pemain yang berkualiti dan saya rasa ia sesuai dengan cara kami bermain dan selepas berbual dengan beliau, saya rasa, beliau merasakan perpindahan ini merupakan satu peluang yang bagus untuknya.
“Terdapat beberapa kelab juga ingin mendapatkan James tetapi beliau rasa, pasukan ini merupakan tempat yang sesuai untuk memperkembangkan karier bola sepaknya.”
McInnes aktif di pasaran untuk memburu penyerang sejak penjaring terbanyak untuk tempoh empat musim, Adam Rooney berpindah dari Pittodrie ke Salford City bulan lepas dan telah menggunakan peluang semasa jendela perpindahan Scotland yang berakhir pada 31 Ogos.
Sementara jendela perpindahan Liga Perdana pula berakhir pada minggu lepas.
Meskipun tersingkir daripada Liga Europa oleh Burnley, Aberdeen telah memulakan langkah kanan menuju ke musim baharu.
Skuad kendalian McInnes menjaringkan gol lewat untuk memastikan perlawanan berakhir dengan seri 1-1 semasa berdepan Rangers yang dikendalikan oleh Steven Gerrard pada permulaan musim hujung minggu lalu dan menang 1-0 di tempat lawan pada Sabtu lalu. – AFP