Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain seharusnya gembira – Conte

    LONDON, 29 Nov – Pengendali Chelsea dari Itali, Antonio Conte (gambar) berkata kepada mana-mana pemainnya yang masih tidak gembira kerana kekurangan masa bermain bahawa mereka sepatutnya bersyukur kerana masih dapat mewakili juara bertahan Liga Perdana itu.

    Pemain sayap Willian dan pertahanan David Luiz masing-masing diketepikan daripada kesebelasan utama Conte sejak kebelakangan ini dan pengurus Chelsea itu bersedia menggilirkan skuadnya untuk mengharungi jadual padat sepanjang bulan Disember dan Januari.

    Pemain perancang Brazil, Willian, diturunkan sebagai pemain simpanan dan kemudian menjaringkan gol penyamaan untuk seri 1-1 di Liverpool Sabtu lalu, manakala Luiz terus memanaskan bangku simpanan.

    Pemain pertahanan itu yang tempatnya digantikan Andreas Christensen, tidak akan beraksi untuk menentang Swansea awal pagi esok berikutan kecederaan lutut.

    “Pemain saya sewajarnya gembira bermain untuk Chelsea,” kata bos Chelsea itu.

    “Mereka perlu gembira sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau simpanan. Saya mempunyai pemain yang pintar untuk memahami dan menerima situasi ini.

    “Saya cuba membuat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan selain melindungi semua pemain,” kata Conte.

    “Saya ingin memulakan permainan dengan pemain terbaik pada sesuatu masa tetapi ia mustahil dilakukan. Ia mustahil kerana jika tidak saya tidak akan melindungi mereka. Bukan mudah merehatkan pemain ternama tetapi saya perlu melakukannya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda